Rangnick Sedar ‘Jurang Besar’ Berbanding City

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MANCHESTER, United Kingdom –  Pengurus sementara Manchester United, Ralf Rangnick menyedari jurang yang wujud antara Red Devils dan pendahulu Liga Perdana, Manchester City selepas dua jaringan Kevin De Bruyne dan Riyad Mahrez memberikan kemenangan 4-1 buat lawan itu awal pagi tadi.

City kembali mengukuhkan kelebihan enam mata di persada liga mengatasi Liverpool dan 22 mata di depan United yang peluangnya layak ke Liga Juara-Juara musim depan semakin pudar.

Skuad kendalian Rangnick kini mengejar Arsenal di tangga keempat dengan pasukan lawan itu masih ada tiga perlawanan dalam tangan.

“Ia perlawanan sukar yang menunjukkan kami perlu masa panjang untuk mengurangkan jurang yang ada,” kata pengendali dari Jerman itu.

“Semua orang tahu betapa bagusnya mereka. Mereka adalah satu daripada pasukan utama dunia dan ada jurang antara kedua-dua pasukan.”

Pep Guardiola pula merumuskan wujud perbezaan dalam aspek keinginan selain kualiti antara kedua-dua pasukan.

“Kejayaan terbesar buat saya sebagai pengurus ialah selepas tiga gelaran Liga Perdana ialah kami terus berlari seperti dahulu, dan berada di sana untuk terus mencuba (menang liga) sekali lagi,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN