Ranking Zii Jia Terus Merudum

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kedudukan ranking jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia terus merudum apabila jatuh satu lagi anak tangga dalam kemas kini terbaharu yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.

Zii Jia, yang mengambil keputusan berehat seketika susulan prestasi mengecewakan sejak kebelakangan ini, menghuni kedudukan ke-14 manakala seorang lagi perseorangan negara, Ng Tze Yong yang baru disenaraikan dalam program Road To Gold turut turun satu anak tangga ke kedudukan ke-21.

Juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen yang menghimpun 103,005 mata berada di kedudukan tertinggi ranking BWF tersebut.

Sementara itu, kejayaan menjuarai Terbuka Taiwan Ahad lalu menyaksikan ranking beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melonjak empat anak tangga untuk berada di kedudukan ke-15 dunia.

Mereka memintas kedudukan satu lagi pasangan negara berstatus profesional, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang turun satu anak tangga ke kedudukan ke-18.

Satu lagi pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai pula kekal berada di kedudukan ketujuh manakala gandingan Hoo Pang Ron-Teoh Mei Xing naik lima anak tangga untuk berada di kedudukan ke-36.

Chan Peng Soon-Cheah Yee See pula turun satu anak tangga ke kedudukan 38.

Dalam acara beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang dalam misi mempertahankan gelaran dunia di Copenhagen, Denmark pada Ogos ini kekal di ranking keempat manakala beregu profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi turut kekal di kedudukan keenam.

Juara Terbuka Taiwan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun turut kekal dengan berada di kedudukan ke-23.

Dalam beregu wanita, gandingan sensasi, Pearly Tan-M Thinaah kekal berada di kedudukan ke-12 manakala Vivian Hoo-Lim Chiew Sien turun satu anak tangga ke kedudukan ke-25.

– BERITA HARIAN