Rasa puas petik anggur di laman rumah sendiri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: Tanaman anggur yang diusahakan menjadi terapi jiwa buat suami isteri bagi mengubat kerinduan terhadap anak-anak yang tidak pulang meraikan Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Syed Norhaimi Syed Zin, 54, berkata sambutan hari raya bersama isteri Sharifah Zuriah Syed Zainal Abidin, 52, pada tahun ini suram kerana empat anak dan cucu berada di perantauan.

Menurutnya, berikutan itu dia menghabiskan masa terluang dengan membelai pokok anggur yang ditanam di rumahnya tambah pula tidak boleh beraya di rumah sanak-saudara.

“Saya tidak menyangka pokok anggur pelbagai varieti yang ditanam sejak PKP tahun lalu menjadi terapi yang boleh menghilangkan rasa rindu kepada anak-anak dan cucu.

“Kami kini setiap hari membelek dan menguruskan pokok anggur sambil memetik buah yang sudah masak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Embun, dekat sini.

Bekas kakitangan Risda itu berkata, dia mula menanam anggur untuk mengisi masa lapang kerana hanya duduk di rumah pada tahun lalu.

“Pada awalnya saya membeli tiga varieti seperti Jupiter, Dakon dan Golden Musqat yang mengeluarkan buah yang lebat.

“Kini saya mempunyai 15 varieti anggur pelbagai warna dan rasa yang boleh dinikmati sepanjang tahun,” katanya.

Katanya, dia juga menghabiskan banyak masa dan belanja untuk memastikan pokok anggur yang ditanam berbuah dan sentiasa segar.

“Rasa puas timbul apabila melihat buah anggur yang bergantungan dan lebih puas apabila dapat menikmati buah yang dipetik di halaman rumah sendiri,” katanya.

Sumber: My Metro