Ratcliffe Sedia Bayar United RM7.1 Bilion

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NEW YORK: Pengerusi Ineos, Jim Ratcliffe sedia membayar lebih AS$1.5 bilion (RM7.1 bilion) bagi 25 peratus pegangan saham dalam Manchester United Plc dengan tawarannya dijangka diterima keluarga Glazer, menurut sumber terdekat semalam.

Terma bidaan Ratcliffe, yang dilaporkan di New York buat kali pertama, membuat kesimpulan penilaian ke atas Manchester United hampir AS$6.5 bilion (RM30.8 bilion), tidak termasuk hutang bersihnya lebih daripada AS$600 juta (RM2.8 bilion), kata sumber itu.

Ia lebih tinggi sedikit berbanding tawaran pesaing ahli bank Qatar, Sheikh Jassim bin Hamad al Thani bagi pegangan 100 peratus kelab Liga Perdana Inggeris itu. Manchester United kini dinilai oleh pasaran saham pada harga AS$3.3 bilion (RM15.6 bilion).

Sheikh Jassim memaklumkan kepada keluarga Glazer dalam beberapa hari lalu beliau tidak akan menaikkan lagi tawarannya sekali gus menarik diri daripada sebarang bidaan.

Keluarga Glazer belum mencapai persetujuan dengan Ratcliffe dan rundingan mungkin diteruskan sekurang-kurangnya hingga akhir bulan ini, kata sumber itu.

Keluarga Glazer, yang memperoleh kekayaan dalam bidang hartanah, jualan runcit dan penjagaan kesihatan serta memiliki pasukan NFL, Tampa Bay Buccaneers, membeli United dengan harga £790 juta (RM4.5 bilion) pada tahun 2005.

Enam waris ahli perniagaan Amerika Syarikat, Malcolm Glazer, yang meninggal dunia pada tahun 2014, bersama-sama menguasai 96 peratus stok undian Manchester United.

Struktur perjanjian yang dicadangkan oleh Ratcliffe akan membolehkan ahli keluarga Glazer, serta pemegang saham lain mengeluarkan sebahagian daripada saham, kata sumber itu.

Ratcliffe menawarkan untuk mengendali pengambilan dan pengurusan bakat di Manchester United sekiranya tawarannya berjaya, kata sumber itu.

Sesetengah peminat kelab itu mengkritik Glazer selama bertahun-tahun susulan cara mereka mengendalikan aspek utama operasi Manchester United.

Ratcliffe mengasaskan Ineos pada tahun 1998 dan merupakan pengerusi serta ketua pegawai eksekutif kumpulan syarikat kimia itu, dengan pegangan dua pertiga. Forbes menganggarkan kekayaan bersih Ratcliffe pada AS$18.7 bilion (RM88.6 bilion).

Bilionair Britain itu tidak asing dengan perniagaan dalam sukan. Ineos memiliki kelab Ligue 1 Perancis Nice, kelab Liga Super Switzerland FC Lausanne-Sport dan bekerjasama dengan kelab rakan kongsi Racing Club Abidjan dalam Ligue 1 Ivory Coast. Ia juga menaja Grenadiers, salah satu pasukan berbasikal paling berjaya di dunia. – REUTERS