Rawat, Bina Kerjaya Bekas Penagih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Tanpa pagar berduri, kawalan keselamatan yang ketat serta kerahan atau arahan tegas serta keras, ramai berpendapat tentunya agak pelik untuk membimbing serta merawat penagih dadah terutama yang kronik apatah lagi pernah menghuni tirai besi beberapa kali.

Tetapi itu tidak mustahil bagi Pusat Pemulihan Dadah Holistik atau Perkampungan Darul Barakah (PDB) yang kini mula melatih 30 peserta dari pelbagai daerah, termasuk Besut dan Kemaman.  

Penubuhan PDB  hasil manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 itu diwujudkan seolah-olah pengajian pondok di mana tempat  bekas penagih menuntut ilmu agama dan menjalankan ibadat.

Pada masa sama perlu mengikuti ibadat asas seperti solat fardu  berjemaah dan solat sunat, zikir, mengaji al-Quran dan puasa, selain sesi ceramah dan aktiviti fizikal untuk memupuk motivasi serta jati diri.

Projek yang bertempat di Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) Cenderawasih, Cador, Marang itu telah disusun dengan sistem dan silibus terbaik melibatkan Yayasan Islam Terengganu, pelbagai badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan Polis Diraja Malaysia.

Pengurus perkampungan terbabit, Alif Mahari berkata kebanyakan mereka yang berdaftar adalah yang benar-benar mahu berubah, ada yang hadir secara bersendirian, ada juga bersama ibu dan bapa serta ada juga isteri yang hantar.

“’Mereka berusia dalam lingkungan 21 sehingga 49 tahun itu mempunyai pelbagai latarbelakang dan sejarah tersendiri, ada yang sudah berumahtangga dan ada juga yang duda.

“Semuanya  kita terima secara ikhlas hati , tanpa bayaran asalnya benar-benar mahu berubah dah bertaubat.

“Berdasarkan temubual bersama pelatih, mereka mengakui tiada kekuatan untuk berubah secara bersendirian kerana  mengalami tekanan dan masih ada pengaruh rakan lama, itu antara alasan yang diberikan peserta,” katanya.

Menurutnya, PDB menjangkakan mampu membimbing sekurang-kurangnya 50 bekas penagih bagi fasa pertama dan  100 pelatih sehingga akhir tahun depan.

“Bermungkinan akan bertambah secara berperingkat-peringkat hingga ke angka 300 pelatih pada masa hadapan, memandangkan kawasan ini sangat luas iaitu berkeluasan 40 ekar.

“Biarpun tidak sampai 15 hari beroperasi, pihak  kami ada menerima lebih hampir 50 permohonan,  termasuk golongan wanita,” katanya.

Alif berkata dia yakin hasil  bimbingan   tenaga pengajar yang turut dikenali sebagai Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) terlatih  di perkampungan itu, pelatih akan mula sedar dan insaf dengan  kisah silam masing-masing dalam tempoh antara empat hingga enam bulan.

Katanya, walaupun benar-benar berubah tempoh itu, PRS tetap terus mendidik, membimbing dan memberi motivasi secara islamik kepada setiap pelatih supaya genap setahun tempoh pemulihan.

“Selepas itu, pelatih boleh memilih jalan-jalan kehidupan masing-masing tetapi PDB tetap memantau supaya tidak terjerumus kembali dalam kehidupan  lampau,” katanya.

Menurut seorang PRS, Wan Luqman Wan Zulkifli berkata, berkata setiap pelatih perlu mengikuti jadual yang ditetapkan di mana perlu menjalani kuarantin diri sepanjang tempoh dua minggu (merawat diri dan mental secara bersendirian).

“Sebulan hingga tiga bulan pertama diwajibkan mengikuti kem ibadah dan program taubat, sebaik benar-benar temui jalan kebenaran, pelatih diberi pilihan untuk mengikuti program pertanian atau penternakan (tiga hingga enam bulan tempoh bimbingan),” katanya.

Katanya, kemudianya, bagi tempoh enam hingga sembilan bulan, pelatih akan diajar menguruskan hasil tanaman dan ternakan masing-masing sehingga menemui pasaran.

“Seterusnya bagi tempoh sembilan sehingga 12 bulan, mereka akan dididik bagaimana menguruskan perniagaan, cara berurusniaga dan  pembangunan kendiri serta keluarga.

“Lebih menarik, sebelum tamat tempoh pemulihan, PDB akan mendapatkan sokongan daripada mana-mana agensi kerajaan untuk bantuan dan pinjaman perniagaan,” katanya.

Sumber: TRDI News