R&D Berterusan Penting Jamin Bekalan Makanan Tak Bermasalah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SATU daripada keperluan asas setiap insan adalah ketersediaan dan kecukupan makanan berkhasiat. Ia penting untuk menentukan kadar tumbesaran tubuh badan sihat dan akal cerdas, serta mewujudkan kesediaan sumber tenaga kerja berkualiti bagi sesebuah negara.

Hakikatnya, individu yang sihat fizikal dan mental dapat melaksanakan tugas sebagai khalifah Allah SWT untuk memakmurkan bumi.

Sistem makanan memainkan peranan penting dalam mencapai sasaran Sifar Kelaparan 2030 atau Zero Hunger 2030 yang digariskan melalui Matlamat Pembangunan Lestari (SDG), dengan memastikan aspek sekuriti makanan terjamin dan menambah baik kualiti nutrisi makanan.

Malah, hari ini sasaran itu menjadi lebih penting untuk difokuskan berbanding sebelum ini disebabkan peningkatan urbanisasi, perubahan iklim dan tekanan demografi.

Walaupun pelbagai kemajuan dan pembangunan teknologi dicapai untuk meningkatkan pengeluaran makanan dan memastikan sekuriti makanan, Malaysia masih menghadapi cabaran getir, terutama ketika pandemik COVID-19 dan bencana alam yang masih kerap berlaku.

Perbandingan dengan 113 negara dalam Indeks Keselamatan Makanan Global (GFSI) 2020, kedudukan Malaysia menurun daripada tangga ke-28 pada 2019 kepada tangga ke-43 pada 2020 dengan skor 67.9 peratus.

Maka, bagaimanakah makanan mencukupi dan berkhasiat dapat disediakan untuk masyarakat Malaysia? Apakah peranan harus dimainkan sektor kerajaan dan swasta, serta penggiat sektor pertanian untuk memberikan jaminan tahap sekuriti keperluan makanan negara?

Cabaran menyediakan makanan mencukupi dan berkhasiat menjadi isu utama dalam golongan miskin dan miskin tegar. Permasalahan ini menjadi amat ketara sejak bermula pandemik apabila banyak sektor ekonomi terpaksa ditutup sementara atau terus gulung tikar.

Impaknya mengundang kepada pemberhentian atau kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan. Ketidaktentuan ini menjadi dilema khususnya kepada golongan berpendapatan rendah, sekali gus memberi kesan kepada aspek kemampuan dan kebolehcapaian makanan berkualiti.

Perubahan iklim turut memberi impak kemusnahan besar kepada sistem makanan khususnya terhadap aspek ketersediaan dan penggunaan makanan, termasuk zat nutrisi dan keselamatan makanan.

Perubahan cuaca dunia hari ini akan meningkatkan risiko kekurangan zat makanan kerana ia berkait rapat dengan berkurangnya ketersediaan makanan dan mengurangkan pendapatan isi rumah daripada sektor pertanian secara tidak langsung.

Ini tidak hanya menjejaskan produktiviti pertanian dan mengurangkan bekalan makanan, tetapi turut menyebabkan peningkatan harga makanan. Kesan saling terkait ini terus berlaku menyebabkan ada keluarga tidak berkemampuan akan beralih kepada makanan rendah zat dan tinggi kalori, serta tidak berkualiti seperti makanan diproses.

Situasi ini boleh dilihat di negara berpendapatan rendah dan sederhana yang mengalami transisi status pemakanan. Makanan dan minuman berkalori tinggi menjadi lebih murah berbanding makanan lebih sihat. Ini mungkin disebabkan kesukaran mengakses makanan kaya dengan nutrien, terutama ketika krisis cuaca dan kejutan ekonomi atau pendapatan.

Kerencaman dalam perubahan iklim akan mengubah penggunaan makanan dengan memberi kesan kepada status pemakanan penduduk.

Suhu lebih tinggi akan menggalakkan perkembangan patogen, banjir akan memusnahkan tanaman sementara kemarau akan mempengaruhi kualiti air dan kebersihan. Situasi ini juga menyumbang peningkatan beban penyakit.

Justeru, sekuriti makanan negara perlu diperkasakan dengan mengambil kira ancaman perubahan iklim demi kelangsungan kehidupan rakyat. Bagi memastikan persediaan negara menghadapi krisis jaminan bekalan makanan dengan baik, Pelan Tindakan Dasar Keselamatan Makanan Negara (2021– 2025) dan Dasar Agromakanan Negara 2.0 dirangka dengan menekankan komponen sekuriti makanan yang merangkumi ketersediaan, kebolehdapatan, penggunaan dan kestabilan bekalan makanan.

Dengan adanya pelan tindakan dan dasar berkait sekuriti makanan, seharusnya negara mampu bergerak secara tuntas dengan menfokuskan pemantapan elemen sekuriti makanan. Tujuannya supaya permasalahan timbul dapat diminimumkan impaknya, khususnya apabila negara berhadapan krisis bencana.

Kerajaan harus memainkan peranan menubuhkan satu badan khusus atau agensi sekuriti makanan bertanggungjawab bagi memastikan jaminan bekalan, akses dan simpanan makanan negara dipelihara melalui pemusatan fungsi semua agensi sedia ada dengan kerjasama penggiat industri pertanian.

Usaha ini penting bagi mengoptimumkan sumber makanan tempatan dan memastikan kelangsungan bekalan makanan demi memelihara kedaulatan makanan negara.

Sudah tiba masanya negara mengorak langkah ke arah mempertingkatkan usaha mengurangkan pengimportan makanan dan memaksimumkan kebergantungan hasil tempatan.

Teknologi terkini harus dimanfaatkan untuk meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan, pemprosesan dan pengagihan makanan dapat dilaksanakan dengan efisien.

Namun, teknologi dan infrastruktur terkini sukar diperoleh di kawasan luar bandar, malah kebanyakan petani dan penternak juga belum menguasai teknologi maklumat secara maksimum. Golongan itu harus diberi pendedahan dan kesedaran bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi sektor pertanian moden.

Di samping itu, penyelidikan dan pembangunan (R&D) berteraskan sains dan teknologi perlu dilaksanakan secara berterusan bagi menghasilkan produk makanan yang berinovasi dan mampu dikomersialkan.

Ini penting diambil kira supaya negara tidak mempunyai sebarang masalah bekalan makanan sekiranya berlaku krisis berskala besar seperti pandemik COVID-19 dan bencana alam.

Aktiviti pertanian sangat penting untuk membantu memastikan makanan mencukupi, segar dan berkhasiat dapat disediakan. Kepentingan sektor pertanian jelas ditunjukkan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Jika terjadi hari kiamat sementara di tangan seorang daripada kamu ada sebiji benih tanaman, maka jika dia mampu sebelum terjadi hari kiamat untuk menanamnya maka tanamlah.” (Riwayat Ahmad dan al-Bukhari).

Tidak dinafikan bidang pertanian memberi manfaat umum lebih besar berbanding kepentingan peribadi. Hasilnya mampu memberi kebaikan kepada ramai orang demi kelangsungan kehidupan.

Untuk itu, amat penting jaminan bekalan makanan negara dikoordinasikan dengan baik bagi menampung hak keperluan asasi seiring dengan pertambahan populasi yang semakin pesat.

Dengan wujudnya jaminan sekuriti makanan yang baik akan menentukan kesejahteraan sosial dan mengurangkan tekanan serta kebimbangan masyarakat terhadap isu kekurangan bekalan makanan negara.

Penulis adalah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Sumber: Berita Harian