Real Madrid, Bayern Layak Ke Peringkat Kalah Mati

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PARIS: Real Madrid dan Bayern Munich muncul antara kelab yang layak ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara dengan berbaki dua perlawanan awal pagi tadi.

Naib juara tahun lalu Inter Milan dan Real Sociedad turut menempah tiket mereka ke peringkat kalah mati, menyertai juara bertahan Manchester City dan RB Leipzig layak ke pusingan 16 terakhir.

Madrid, pemegang rekod 14 kali juara Eropah, memastikan kemaraan dari Kumpulan C dengan kemenangan 3-0 di laman sendiri ke atas Braga selepas dikejutkan apabila pemainnya mengalami kecederaan sebelum sepak mula.

Penjaga gol Kepa Arrizabalaga mengalami kecederaan ketika memanaskan badan, namun penggantinya Andriy Lunin bertindak cemerlang dengan menyelamatkan penalti Alvaro Djalo pada minit keenam.

Ketika Jude Bellingham direhatkan, Brahim Diaz meletakkan Real di depan pada minit ke-27 sebelum dua pemain Brazil, Vinicius Junior dan Rordygo menyumbang gol pada babak kedua.

Napoli berpeluang mengiringi Real ke peringkat kalah mati dari kumpulan itu sekalipun diikat 1-1 di laman sendiri oleh Union Berlin.

Matteo Politano meletakkan Napoli di depan pada hujung babak pertama namun David Datro Fofana, beraksi secara pinjaman dari Chelsea, menyamakan kedudukan sejurus selepas rehat.

Keputusan itu membolehkan Union menamatkan rentetan 12 perlawanan kalah berturut-turut namun mereka tidak boleh layak ke pusingan 16 terakhir.

Musuh Bundesliga mereka, Bayern layak selepas menang 2-1 ke atas Galatasaray di laman sendiri, kemenangan ke-17 berturut-turut mereka pada peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Anak buah Thomas Tuchel menyaksikan satu gol Galatasaray dibatalkan kerana ofsaid sebelum Harry Kane menanduk masuk gol pembukaan dengan berbaki 10 minit.

Kane kemudian menambah satu gol lagi, gol ke-19 buatnya bersama Bayern dalam 15 penampilan, sebelum Cedric Bakambu membalas satu gol pada masa kecederaan buat Galatasaray.

“Dia seorang yang luar biasa dan kami bangga mempunyainya dalam pasukan kami,” kata penjaga gol Bayern, Manuel Neuer kepada saluran penyiar DAZN mengenai Kane.

Dalam Kumpulan D, Inter memastikan kemaraan dengan kemenangan 1-0 di laman lawan menentang Red Bull Salzburg di Austria, perlawanan yang ditentukan menerusi gol penalti lewat Lautaro Martinez.

Keputusan itu juga membolehkan Real Sociedad layak selepas terdahulu menewaskan kelab gergasi Portugal, Benfica 3-1.

Mikel Merino, Mikel Oyarzabal dan Ander Barrenetxea menyumbat gol dalam tempoh 21 minit pertama buat tuan rumah sebelum Rafa Silva membalas satu gol bagi Benfica.

– BERITA HARIAN