Real Madrid Juara Piala Dunia Kelab

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RABAT, Maghribi – Real Madrid memenangi Piala Dunia Kelab buat kali kelima selepas kemenangan 5-3 ke atas Al Hilal di Maghribi.

Vinicius Junior dan Fede Valverde masing-masing meledak dua gol, manakala Karim Benzema yang baru pulih daripada kecederaan turut berjaya membolosi gawang lawan dari Arab Saudi itu.

Skuad kendalian Carlo Ancelotti, yang layak ke kejohanan itu sebagai pemenang Liga Juara-Juara Eropah musim lalu, menampilkan kualiti serangan yang sukar dikekang kelab Asia itu.

Kemenangan Madrid di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat itu memberikan trofi kedua mereka musim ini, selepas memenangi Piala Super Eropah pada Ogos.

Ia turut menebus kekecewaan mereka dalam kempen La Liga, di mana mereka ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu, Barcelona, yang turut menewaskan Madrid dalam final Piala Super Sepanyol pada Januari.

Madrid kini memegang rekod kemenangan paling banyak dalam kejohanan antara benua itu selepas memenangi Piala Intercontinental – perlawanan antara juara Eropah dan Amerika Selatan – pada tahun 1960, 1998 dan 2002, yang kemudian digabungkan dengan Piala Dunia Kelab pada tahun 2005.

“Kami amat gembira, buat kali kelapan Madrid adalah juara dunia, ia adalah apa yang kami perlu lakukan.

“Ia perlawanan yang bagus. Saya rasa barisan depan kami sangat hebat, dengan Vinicius, Karim, Valverde, yang mendapat dua gol, serta kualiti pasukan yang bagus,” kata Ancelotti.

Ancelotti kembali memasukkan Benzema dalam kesebelasan utama selepas dia terlepas aksi separuh akhir menenang Al Ahly akibat kecederaan paha, dengan Rodrygo bermula di bangku simpanan.

Penyerang 35 tahun itu mencetus gol pembukaan Vinicius dengan hantaran pendek yang dimanfaatkan pemain sayap Brazil itu.

Selepas dikecewakan oleh penyokong yang bersikap perkauman dan lawan yang sering mensasarkannya di atas padang di Sepanyol, Vinicius menikmati malam gemilang di Maghribi, menjaringkan gol dalam kedua-dua perlawanan Madrid serta dinobatkan pemain terbaik kejohanan.

Kelab Asia tidak pernah memenangi kejohanan ini, dengan wakil Eropah menjuarainya setiap tahun sejak Corinthians dari Brazil muncul juara pada tahun 2012.

Sebelum itu pemenang Copa Libertadores dari Brazil, Flamengo menduduki tempat ketiga selepas menewaskan kelab Mesir, Al Ahly 4-2.

Sumber : BERITA HARIAN