MADRID – Jaringan lewat permainan Federico Valverde dan Marco Asensio membolehkan Real Madrid mengekalkan permulaan 100 peratus Liga Juara-Juara Eropah dengan kemenangan 2-0 ke atas RB Leipzig.
Perlawanan hampir berakhir mengecewakan buat juara 14 kali dan juara bertahan itu sehingga Valverde memecah kebuntuan, meneruskan rentak cemerlangnya dengan gol pada minit ke-80 di Santiago Bernabeu.
Pemain gantian, Asensio kemudian menambah jaringan dalam masa kecederaan, bermula daripada sepakan percuma Toni Kroos.
Kemenangan itu mengekalkan Madrid di puncak Kumpulan F pada enam mata, mengatasi Shakhtar Donetsk yang mengumpul empat mata.
Ia juga adalah kemenangan kelapan Madrid dalam semua pertandingan musim ini.
“Dengan keupayaannya, saya beritahu dia yang jika dia tidak mampu menjaringkan 10 gol dalam semusim, saya akan buang lesen kejurulatihan saya. Kakinya amat berbisa!” kata pengendali Real Madrid, Carlo Ancelotti.
Ketika kedua-dua pasukan seakan buntu untuk membuka jaringan, pemain tengah Uruguay, Valverde yang bergerak dari sayap kanan memecah kebuntuan dengan sepakan lencong menggunakan kaki kirinya.
Ia adalah gol ketiganya dalam enam perlawanan, selepas jaringan ke atas Celta Vigo dan Mallorca. Asensio turut membuktikan kemampuannya untuk terus mendapat kepercayaan Ancelotti.
Sumber : BERITA HARIAN