LONDON – Manchester United perlu berdepan ‘ibu’ segala perbincangan bagi mendapatkan pemain tengah diidamkan mereka, Adrien Rabiot.
Red Devils dikatakan sudah bersetuju dengan Juventus dan bersedia membayar £15 juta (RM80.76 juta) buat bintang Perancis berusia 27 tahun itu.
Namun kini masalah paling besar perlu dihadapi mereka — menyelesaikan syarat peribadi dengan ejennya yang garang iaitu ibunya, Veronique.
Sebelum ini, wanita berkenaan sudah bergaduh dengan pengarah sukan, mahu berjumpa pengurus dan datang ke sesi latihan anaknya.
Dan lebih banyak mimpi ngeri mahu dielakkan United selepas musim panas mengecewakan kerana gagal mendapatkan pemain dimahukan mereka selain kekalahan pada hari pembukaan kepada Brighton.
Veronique pernah mengikuti jelajah pramusim selepas anaknya itu menandatangani kontrak profesional pertama bersama Paris Saint-Germain.
Dan ketika anaknya itu diletakkan di bangku simpanan PSG kerana bertelagah soal gaji, dia membuat kenyataan secara umum mengenai kekecewaannya.
Katanya: “Anak saya menjadi tebusan di kelab, tidak lama lagi dia akan hidup di penjara dan hanya bergantung kepada minum air kosong serta makan roti.”
Dia juga menyebabkan perpindahan ke Spurs gagal pada 2018 kerana permintaan gajinya tidak dipenuhi.
United mengalih tumpuan mereka bagi mendapatkan Rabiot selepas masih gagal mendapatkan pemain Barcelona, Frenkie de Jong.
Sumber : BERITA HARIAN