Redah Sungai, Daki Bukit Selamatkan Tiga Beranak Terperangkap

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tanah Merah: Anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanah Merah dan polis meredah tiga sungai serta mendaki bukit bagi menyelamatkan tiga beranak yang terperangkap di hutan simpan Sokortaku di sini.

Ketua BBP itu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Rafain Mat Zin berkata, empat anggotanya bersama dua anggota polis pada mulanya menaiki bot penyelamat jenis fiber menyeberangi sungai pertama sebelum memikulnya sebaik tiba di kaki bukit.

Menurutnya, tindakan itu dilakukan berulang kali sebelum mereka berjaya mendapatkan tiga beranak itu yang terdiri daripada lelaki berusia 68 tahun bersama dua anaknya berusia sembilan serta 12 tahun.

“Kami menerima panggilan daripada mangsa sendiri pada 2.27 petang yang memaklumkan mereka terperangkap di hutan simpan yang juga lokasi mencari emas.

“Mangsa dan dua anaknya ke sana dengan menaiki pacuan empat roda dan tidak lama selepas itu air sungai mulai naik kerana hujan, menyebabkan mereka terperangkap,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mohd Rafain berkata, kedalaman tiga sungai yang diredah antara empat hingga lima meter, dan usaha menyelamat mangsa mengambil masa tiga jam serta tamat sepenuhnya pada 7.17 malam.

“Semua mangsa yang berlindung di sebuah pondok berjaya diselamatkan namun kenderaan mangsa rosak kerana dimasuki air,” katanya.

Sumber: My Metro