Redah sungai usung jenazah mangsa Covid-19 kerana titi reput

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Dalam keadaan hujan rintik dan memakai sut pakaian perlindungan diri (PPE), sekumpulan kakitangan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tumpat dan anggota polis terpaksa meredah sungai berselut membawa jenazah ke dalam bot.

Ia berikutan keadaan sebahagian daripada titi yang reput di jeti Kampung Pulau Che Tahir di sini, sekali gus menyukarkan kumpulan petugas barisan hadapan mengusung jenazah lelaki warga emas yang meninggal dunia akibat Covid-19 di rumahnya itu, petang semalam.

Kakitangan PKD Tumpat Mohamad Zawawi Mohamed berkata, cabaran itu sudah dijangka akan dihadapi mereka memandangkan lokasi rumah mangsa yang terletak di delta Sungai Kelantan yang mana perlu menggunakan bot untuk ke sana.

Beliau berkata, pihaknya bertolak dari jeti berhampiran Taman Kemahkotaan di sini, bersama pasukan polis dan bomba pada jam 7 malam tadi menggunakan dua bot.

“Sebaik tiba di Kampung Pulau Che Tahir, titi di jeti masih boleh dilalui kerana kami berjalan seorang demi seorang sebelum menuju ke rumah mangsa kira-kira 600 meter dari sungai.

“Bagaimanapun untuk membawanya masuk ke dalam bot, empat anggota polis dan seorang waris mangsa yang mengusung terpaksa meredah selut hingga ke paras 0.4 meter sejauh kira-kira 50 meter disebabkan sebahagian kayunya yang reput.

“Apabila laluan semakin dalam dan keadaan titi dirasakan agak kukuh, pasukan polis dan waris mangsa kembali memanjat titi sebelum berjalan ke arah bot di tebing sungai yang bersedia untuk membawa mereka ke tanah besar,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Zawawi berkata, selain daripada cabaran itu, keadaan cuaca gelap disebabkan waktu malam juga agak menyukarkan urusan membawa mangsa.

Katanya, proses membawa mangsa yang berusia 74 tahun ke tanah besar memakan masa selama dua jam termasuk terpaksa menggunakan jeti lain untuk mendarat berikutan air sungai surut.

“Mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tumpat untuk proses tayamum dan solat jenazah.

“Urusan pengebumian jenazah di Tanah Perkuburan Islam Kubur Dato, Kampung Dalam Rhu pula diserahkan kepada pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor,” katanya.

JENAZAH lelaki warga emas diusung sepasukan anggota polis untuk dibawa ke tanah besar. FOTO Ihsan Mohamad Zawawi
JENAZAH lelaki warga emas diusung sepasukan anggota polis untuk dibawa ke tanah besar. FOTO Ihsan Mohamad Zawawi

Sumber: My Metro