KUALA LUMPUR – Skuad sepak takraw negara masih belum menemui formula bagi mengakhiri badi kekalahan di tangan musuh tradisi, Thailand.
Malaysia sekali lagi terpaksa berpuas hati berada di belakang skuad Gajah Perang apabila tewas pada aksi final antara regu saingan Piala Raja Thai ke-36 di Korat, hari ini.
Pada aksi itu, skuad negara yang dibarisi tekong, Muhammad Syahir Rosdi selain perejam Khairol Zaman Hamir Akbar serta apit kiri, Amirul Zazwan Amir berjaya memberi tentangan sengit di set pertama sebelum terpaksa akur tewas 20-22.
Kebangkitan yang cuba dicetuskan skuad negara di set kedua dinafikan regu Thailand yang dibarisi Pornthep Tinbangbon, Siriwat Sakha dan Varayut Jantarasena apabila dilihat mendominasi permainan sekali gus melakar kemenangan 21-17.
Bagaimanapun, Malaysia yang dibimbing Ahmad Jais Baharun berpeluang untuk menebus kekecewaan itu apabila saingan acara berpasukan bermula pada Khamis ini.
Piala Raja Thai edisi lalu menyaksikan skuad negara membawa pulang satu pingat emas menerusi acara double (regu dua sepasukan) dan dua gangsa yang hadir menerusi acara regu dan regu berpasukan.
– BERITA HARIAN