Kota Bharu: Kadar vaksinasi lengkap golongan remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di Kelantan memberangsangkan dengan 80.9 peratus direkodkan sehingga semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, jumlah remaja yang menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin adalah 84.7 peratus.
Katanya, ibu bapa mendapatkan vaksin untuk anak remaja kerana sebahagian daripada mereka sudah bersekolah.
“Namun, masih ada baki belum mendapatkan vaksinasi dan dinasihatkan supaya mereka hadir untuk mendapatkan vaksin masing-masing.
“Ini penting memandangkan kes Covid-19 masih lagi tinggi dan beberapa varian yang menular dalam komuniti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Pada masa sama, Dr Zaini berkata, kadar vaksinasi lengkap bagi golongan dewasa sebanyak 80.5 peratus iaitu dengan jumlah 1,165,770 dos.
Beliau berkata, individu menerima satu dos vaksin pula berjumlah 1,192,017 dos atau 82 peratus.
Menurutnya, jumlah penerima dos penggalak adalah 93,046 dos dan masyarakat diminta mendapatkan dos penggalak di klinik atau hospital berdekatan mereka.
Sumber: My Metro