Kota Bharu: Kira-kira 100 remaja di negeri ini dikesan enggan menerima suntikan vaksin Covid-19 dipercayai akibat dipengaruhi oleh ibu bapa mereka.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin berkata, pihaknya tidak menerima alasan khusus berhubung perkara berkenaan.
“Setakat ini kita kesan kira-kira 100 remaja yang enggan divaksin dan mungkin disebabkan mengikut ibu bapa mereka.
“Bagaimanapun sejak 20 September lalu, sambutan yang diterima untuk vaksinasi dalam kalangan remaja sangat menggalakkan,” katanya selepas meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Sekolah Kebangsaan Demit 2, di sini, hari ini.
Izani berkata, sehingga kini hampir 160,000 remaja di negeri ini yang berusia 12 hingga 17 tahun sudah menerima suntikan dos pertama.
Katanya, sebanyak 52 sekolah dijadikan PPV untuk vaksinasi remaja di seluruh negeri dan dianggarkan setiap hari seramai 9,000 remaja hadir mendapatkan suntikan.
Berhubung perkembangan vaksinasi di negeri ini, Izani berkata, tahap 95 peratus sudah dicapai sekali gus Kelantan bakal beralih ke fasa tiga dalam masa terdekat.
“Bagaimanapun, terdapat kira-kira 27,000 masih belum dan enggan divaksin di mana 17,000 daripadanya memberi alasan berkaitan penyakit manakala selebihnya memang tidak mahu,” katanya.
Sumber: MY Metro