KUALA KRAI – Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun dilaporkan hilang di Kampung Temalir, kira-kira jam 4.45 petang semalam, selepas dipercayai melarikan diri ke dalam hutan.
Difahamkan, abang mangsa memaklumkan adiknya, Norhisham Saifudin melarikan diri ke dalam hutan di belakang rumah dan gagal dikesan.
Dalam pada itu, sejak semalam penduduk kampung berusaha mencari mangsa, namun tidak juga ditemui menyebabkan ahli keluarga membuat laporan kepada pihak polis, hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB), Nik Ahmad Afsham Nik Pa, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 6.17 petang tadi.
“Sepasukan tujuh anggota termasuk pegawai dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi kejadian, namun disebabkan keadaan yang gelap pada waktu malam, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditamatkan pada jam 7 malam dan akan disambung pagi esok.
“Operasi SAR turut dijalankan bersama polis, selain dibantu oleh unit anjing pengesan (K9) daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM),” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
-BERITA HARIAN