GUA MUSANG – Seorang remaja yang bekerja sebagai buruh binaan, meninggal dunia semalam dipercayai akibat dipukul dengan menggunakan topi keledar oleh majikannya pada Isnin lalu.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata remaja lelaki berusia 16 tahun itu disah menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.30 pagi ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lipis, Pahang.
Beliau berkata, terdahulu mangsa mendakwa dipukul oleh majikannya di Kampung Mentara Lama di sini, Isnin lalu, dan dibawa ke Klinik Kesihatan Merapoh, Pahang, keesokannya sebelum dirujuk ke Hospital Kuala Lipis pada hari sama.
“Hasil siasatan awal mendapati mangsa bekerja dengan suspek sebagai tukang rumah di Kampung Mentara Lama.
“Punca awal kejadian dikatakan adalah kerana mangsa didakwa cuba mengambil duit upah membina rumah tanpa pengetahuan majikannya itu.
“Suspek kemudian didakwa berang lalu memukul mangsa menggunakan topi keledar sehingga mangsa mengalami kecederaan dan kesakitan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, Muhamad Zaki berkata, suspek yang berusia 40 tahun direman hingga Selasa depan bagi membantu siasatan.
“Pada awalnya, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, namun kemudian mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan memandangkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN