JASIN: Remaja lelaki ditemui lemas di air terjun Laman Tiga Budaya, Asahan, di sini, awal pagi ini.
Mayat mangsa, Muhammad Rafid Azahari, 19, yang beralamat di Kampung Baru Batu 28, Lenga, Muar Johor ditemui di dalam air oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) lebih dua jam di lokasi kejadian, pada jam 1.29 pagi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin, Pegawai Bomba Kanan II, Seleman Tugi, berkata terdahulu pihaknya menerima panggilan daripada rakan mangsa pada jam 10.23 malam memaklumkan rakannya hilang di kawasan hutan air terjun berkenaan.
“Setiba di lokasi, pemanggil memaklumkan rakannya itu dipercayai hilang kira-kira jam 7 malam dan laporan berkaitan turut dibuat di Balai Polis Tangkak, Johor, sebelum menghubungi BBP Jasin bagi meminta bantuan mencari rakannya itu
“Operasi SAR dilakukan dalam jarak 500 meter dari lokasi mangsa dilaporkan hilang sebelum menemui mayatnya di dalam air,” katanya ketika dihubungi di sini.
Seleman berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tangkak bagi proses bedah siasat dan operasi tamat sepenuhnya jam 2.36 pagi.
Katanya, lapan anggota BBP Jasin terbabit operasi dan turut dibantu dua anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Melaka dan empat anggota STORM Melaka Tengah.
Sumber: BERITA HARIAN