Remaja Maut Digilis Bas Ekspres

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN: Seorang remaja berusia 18 tahun maut akibat digilis sebuah bas ekspres setelah motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan melibatkan tiga buah kenderaan di Kilometer 337.9, Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Paka, di sini, awal pagi tadi. 

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.10 pagi, mangsa, Muhammad Irfan Abdullah yang berasal dari Santong, Paka, meninggal dunia di lokasi kejadian ekoran cedera parah di bahagian kepala dan badan. 

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Baharudin Abdullah berkata, kemalangan itu melibatkan tiga kenderaan iaitu sebuah Toyota Unser, bas dan motosikal jenis Yamaha Y15ZR yang ditunggang mangsa. 

“Siasatan awal mendapati, apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Kuala Terengganu menghala ke Kuantan tiba-tiba hilang kawalan dan melanggar bahagian belakang Toyota Unser yang juga dari arah sama. 

“Ekoran pelanggaran tersebut menyebabkan mangsa  terjatuh ke atas jalan raya dan dalam masa yang sama, datang sebuah bas, tidak sempat mengelak lalu menggilis mangsa,” katanya di sini, hari ini. 

Baharudin berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan yang tiba di tempat kejadian.

Sementara itu, tambahnya, pemandu Toyota Unser berusia 29 tahun yang berasal dari Kampung Mak Kemas, Bukit Payung, Kuala Terengganu dan pemandu bas berusia 28 tahun yang berasal dari Bachok, Kelantan, tidak mengalami sebarang kecederaan. 

“Mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sumber: UTUSAN