Remaja Melambung Motosikal Langgar Kereta

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR PUTEH – Seorang remaja lelaki maut apabila motosikal ditungganginya dipercayai terlanggar kereta di Jalan Kota Bharu ke Kuala Terengganu, di sini, pada Selasa.

Kejadian jam 11.35 malam itu menyebabkan mangsa yang berusia 19 tahun melambung sebelum jatuh di tengah-tengah jalan dan meninggal dunia di lokasi.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superintendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu kereta berusia 25 tahun itu dalam perjalanan ke kedai tayar.

“Setiba di lokasi, kereta yang berada di laluan Kota Bharu ke Terengganu telah memberi isyarat untuk ke kanan.

“Bagaimanapun, mangsa yang menunggang motosikal dari arah belakang telah melanggar kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut beliau, siasatan masih diteruskan dan kes disiasat bawah Seksyen 41 (I) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Ujarnya, pemandu kereta terbabit ditahan bagi membantu siasatan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan tersebut boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik di talian 017-2047828.

Sumber : SINAR HARIAN