KUANTAN – Seorang remaja perempuan berusia 14 tahun meninggal dunia dihempap pokok besar dalam kejadian ribut di Kampung Balok Baru, petang tadi.
Difahamkan, mangsa sempat menolak dua adiknya bagi menyelamatkan mereka sebelum dia dihempap pokok besar terbabit.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira jam 6.35 petang.
“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Pahang terima satu kes daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gebeng memaklumkan terdapat kes pokok tumbang dan menghempap kanak-kanak perempuan, empat kenderaan awam serta kabel elektrik.
“Sebaik menerima laporan, sepasukan anggota terdiri tujuh anggota termasuk seorang pegawai dari BBP Gebeng bergegas ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian, didapati seorang kanak-kanak perempuan dihempap pokok dan dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Pasukan bomba mula memberikan bantuan awal kepada mangsa sebelum menghantar mangsa ke hospital dengan menggunakan kenderaan keluarga mangsa.
“Kerja-kerja seterusnya anggota bomba menunggu pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) hadir ke lokasi untuk memotong bekalan elektrik,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu mengesahkan kejadian itu dan mangsa disahkan meninggal dunia.
“Mangsa dikenali sebagai Aliya Zahra Mohammad Hasnizam berusia 14 tahun dan berasal dari FELDA Cerul Satu, Kemaman, Terengganu,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk tindakan lanjut.
– BERITA HARIAN