Kota Bharu: Hasrat seorang remaja perempuan melaram dengan telefon bimbit baharu tidak kesampaian selepas menyedari dirinya ditipu sindiket penipuan.
Mangsa yang berusia 17 tahun pada asalnya ingin membeli sehelai blaus dan perlu membayar RM200 termasuk kos penghantaran, akhirnya kerugian RM26,200 selepas ditawarkan cabutan bertuah kononnya memenangi satu unit iPhone 12 Pro Max.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Kelantan, Superintendan Ahmad Azizul Mohamed berkata, pada hujung November lalu, semasa mangsa berada di rumahnya di Tanah Merah, remaja itu melayari aplikasi media sosial Instagram dan berminat dengan satu hantaran daripada iklan butik pakaian.
“Mangsa berminat untuk membeli sehelai baju blaus dan berurusan dengan penjual melalui aplikasi mesej Instagram yang memintanya memasukkan RM200 ke satu akaun bank milik individu bagi bayaran baju berkenaan termasuk kos penghantaran.
“Awal bulan ini mangsa menerima mesej Whatsapp dari satu talian tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai wakil dari butik pakaian berkenaan dan memaklumkan mangsa memenangi cabutan bertuah satu unit iPhone 12 Pro Max dan diminta membuat bayaran terlebih dahulu sebagai wang jaminan.
“Mangsa seterusnya membuat pindahan wang RM1,000 ke satu akaun bank milik
individu berbeza menggunakan perkhidmatan perbankan internet milik ibunya,” katanya menerusi satu kenyataan media di sini.
Ahmad Azizul berkata, mangsa kemudiannya diminta untuk membuat tiga lagi bayaran berjumlah RM7,000 ke akaun bank yang sama kononnya sebagai wang cagaran yang akan dipulangkan semula.
Menurutnya lagi, dalam tempoh beberapa hari kemudian, mangsa masih lagi diminta membuat beberapa lagi bayaran berjumlah RM18,000 ke beberapa akaun bank lain milik individu berbeza bagi pelbagai tujuan seperti untuk membuka kata laluan iPhone 12 Pro Max berkenaan selain kos penghantaran.
“Mangsa akhirnya mengesyaki ditipu selepas menerima satu panggilan aplikasi
Whatsapp memperkenalkan diri sebagai seorang pegawai bank meminta mangsa membuat bayaran tambahan bagi mendapatkan kembali wang milik mangsa dan jika tidak berbuat demikian, remaja itu diugut akan dibawa ke mahkamah.
“Mangsa yang juga masih belum menerima baju yang dibelinya dan juga hadiah cabutan bertuah itu terus membuat laporan polis dengan jumlah kerugian RM26,200.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan (KK) dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih 10 tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda,” katanya.
Ahmad Azizul menasihatkan orang ramai supaya jangan mudah percaya dengan tawaran iklan barangan atau perkhidmatan secara dalam talian terutama yang meminta bayaran ke akaun bank milik individu yang tidak dikenali.
Orang ramai juga diminta tidak cepat teruja dan mempercayai dengan sebarang dakwaan memenangi cabutan bertuah yang meminta bayaran dibuat terlebih dahulu sebelum hadiah berkenaan diterima.
“Sebagai langkah berwaspada, orang ramai disaran membuat semakan nombor akaun
bank dan juga nombor talian di laman sesawang http//ccid.rmp.gov.my/semakmule/ atau di aplikasi telefon pintar “Check Scammers CCID’ yang boleh dimuat turun secara percuma.
“Talian CCID Scam Response Centre 03-2610 1559 / 03-2610 1599 juga boleh dihubungi untuk pertanyaan lanjut mengenai modus operandi jenayah komersil dan juga untuk mangsa hubungi sekiranya sudah melakukan transaksi bayaran ke akaun keldai,” katanya.
Sumber: My Metro