KUALA LUMPUR – Pemegang konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) ANIH Berhad menjangkakan trafik lebuh raya itu akan mengalami pertambahan jumlah kenderaan 150,000 ke 160,000 sehari menuju Pantai Timur, apabila rentas negeri dibenarkan tidak lama lagi.
Ketua Operasi dan Penyelenggaraan ANIH Berhad, Ainul Hasri Shah Abu Hassan, berkata perkara itu dijangka apabila orang ramai, khususnya penduduk Lembah Klang akan mengambil kesempatan untuk pulang ke kampung.
Setakat ini, katanya, ANIH Berhad tidak mengetahui bila pertambahan itu akan bermula kerana ia tertakluk kepada pengumuman kerajaan.
“Bagi kami, sudah tentu akan melakukan persediaan pembukaan rentas negeri ini dan masing-masing 13 tol di plaza tol timur dan barat juga mencukupi dalam menangani pertambahan kenderaan ini.
“Bagaimanapun kita jangkakan rentas negeri kali ini akan berjalan lancar susulan lebuh raya Central Spine Road (CSR) dari Bentong ke Gua Musang (laluan Pantai Timur) dijangka mula dibuka esok,” katanya kepada BH, kelmarin.
Ainul Hasri Shah berkata, ANIH Berhad juga menasihatkan orang ramai untuk merancang perjalanan termasuk siap sedia menambah nilai Touch ‘n Go dan eWallet.
Sumber: TRDI News