Rentas negeri, perhimpunan sosial punca kes Covid-19 di Kelantan meningkat

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Perhimpunan aktiviti sosial dan kemasukan penduduk dari luar negeri ini sempena cuti Deepavali antara faktor yang menyumbang kenaikan kes Covid-19.

Peningkatan kes sejak beberapa hari lalu itu turut menyaksikan Kelantan merekodkan 820 kes semalam, sekali gus menjadi negeri tertinggi, diikuti Selangor dan Sarawak.

Pengarah Kesihatan Kelantan Datuk Dr Zaini Hussin berkata, selain itu, pematuhan prosedur operasi standard yang tidak optimum dan penularan varian Delta turut menyumbang kepada kenaikan kes.

“Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes Covid-19 di Kelantan sejak beberapa hari lalu sehingga hari ini, ia membabitkan kemasukan penduduk dari luar susulan cuti panjang sempena Deepavali, perhimpunan aktiviti sosial dan kurang pematuhan SOP.

“Selain itu, pergerakan orang ramai serta varian Delta juga menyumbang kepada peningkatan kes,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dr Zaini berkata, sehingga kini, Kelantan merekodkan keseluruhan 77 kes iaitu 51 kes varian Delta dan 26 kes membabitkan varian Beta.

“Kebanyakan pesakit yang positif adalah kategori satu dan dua. Justeru, kita berharap penduduk di negeri ini terus patuh SOP,” katanya.

Semalam, Kelantan merekodkan sebanyak 820 kes diikuti Selangor 809 kes dan Sarawak 385 kes.

SUmber: My Metro