Kuala Terengganu: Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu mewujudkan beberapa laluan alternatif untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas menerusi Ops Lancar di seluruh negeri ini.
Langkah itu diambil bagi mengelak berlaku kesesakan di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menjadi laluan utama ke Terengganu dan Kelantan.
Ia susulan peningkatan jumlah kenderaan memasuki negeri ini selepas rentas negeri dibenarkan mulai Isnin lalu.
Ketua JSPT Terengganu, Superintendan Ismail Man berkata, Ops Lancar membabitkan kekuatan 73 anggota termasuk lapan pegawai selain dibantu 14 anggota kereta peronda polis (MPV) di setiap daerah.
“Sempena Ops ini, kita akan menyediakan beberapa laluan alternatif untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas bagi melancarkan aliran trafik terutama pengguna jalan raya yang dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan untuk ke Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pengguna jalan raya yang menggunakan LPT2 untuk ke Kota Baharu, Kelantan boleh menggunakan susur keluar LPT2 ke persimpangan lampu isyarat Tepoh ke bulatan Batu Rakit/Penarik/Bulatan Che Selamah sebelum memasuki laluan Saujana, Setiu ke Beting Lentang dan Kampung Raja serta Kampung Lampu di Kuala Besut.
“Pengguna dari arah Kuala Terengganu ke Kelantan juga boleh menggunakan laluan alternatif di simpang tiga Kampung Renek, Besut sebelum melalui jalan pantai,” katanya.
Ismail berkata, bagi pengguna jalan raya dari arah Kelantan ke Terengganu pula, mereka boleh menggunakan laluan alternatif melalui simpang di Kampung Seberang Jerteh (Persimpangan lampu isyarat Masjid Ulul Albab), Besut seterusnya melalui jalan pantai untuk ke arah Kuala Terengganu.
Katanya, pengguna dari Kelantan juga boleh menggunakan laluan Pasir Puteh-Kuala Besut di Besut-Penarik, Setiu dan bulatan Batu Rakit di Kuala Nerus sebelum ke persimpangan lampu isyarat Tepoh untuk ke LPT 2.
Beliau berkata, bagi pengguna Setiu untuk Kelantan pula, mereka boleh membuat laluan terus dari persimpangan lampu isyarat Chalok ke Permaisuri.
“Kita akan menempatkan anggota ‘point duty’ di kawasan yang dikenal pasti berlaku kesesakan,” katanya.
Menurut Ismail, pihaknya juga membuka tiga lorong di Jambatan Jerteh iaitu dua lorong untuk kenderaan dari arah Kuala Terengganu ke Kelantan, manakala satu lorong kenderaan dari Kelantan ke Terengganu.
Katanya, anggota ‘point duty’ turut diletakkan di tiga persimpangan lampu isyarat iaitu hadapan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC) Chung Hwa, Jerteh; Pekan Jerteh (hadapan bank CIMB Jerteh) dan Seberang Jerteh (hadapan Masjid Ulul Albab).
“Di Marang pula, kita akan membuat laluan terus di lampu isyarat Seberang Marang dan lampu isyarat akan dibuat ‘amber flashing’ selain menempatkan anggota ‘point duty’ di kawasan yang sesak,” katanya.
Sumber: My Metro