20 tahun akan datang, kita masih tidak pasti apa yang akan terjadi pada bumi. Semakin hari, bumi semakin menunjukkan taringnya kepada manusia. Sekali sekala berlakunya tsunami, tanah runtuh, banjir, penyakit berjangkit dan sebagainya. Banyak rahsia tuhan yang kita tidak tahu namun apa yang utama adalah untuk kita merefleksi dan mengambil iktibar akan ujian yang datang.
Kita mengakui bahawa ememangnya fenomena bencana alam dan perubahan semesta ini adalah kehendak daripada-Nya juga. Segala sistem dan perjalanan telah direncanakan dan disusun atur oleh Allah SWT mengikut kehendak-Nya.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Allah jugalah yang menciptakan langit dan bumi (dengan segala keindahannya) dan apabila Dia berkehendak (untuk menjadikan) sesuatu, maka Dia hanya berfirman kepadanya: Jadilah ! Maka, jadilah ia (mengikut kehendak-Nya).” (Surah al-Baqarah, ayat 117)
Segalanya berlaku atas kuasa Allah SWT
Di Malaysia, bencana alam yang sering berlaku ialah banjir yang mana sering membadai Kawasan tertentu misalnya seperti di Pantai Timur pada musim Monsun. Yang masih lagi berlaku sejak tahun 2019 ialah penyakit berjangkit akibat virus Covid-19. Apa yang kita perlu fahami ialah semua ini berlaku di atas kekuasaan Allah SWT jua. Allah SWT mampu menghancurkan manusia hanya dengan menggunakan air dan kuman yang kita tidak dapat embal dengan mata kasar.
Namun begitu, Kita juga perlu mengakui bahawa bencana alam yang terkait sebenarnya juga turut disebabkan tangan-tangan manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Telah kelihatan kerosakan di darat dan laut disebabkan tangan-tangan manusia supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian daripada akibat perbuatan mereka dan kembali kepada kebenaran.” (Surah ar-Rum, ayat 41)
Penebangan pokok contohnya adalah faktor fizikal yang menyebabkan terjadinya banjir kerana tiada akar pokok yang berperanan untuk menyerap air atau mencengkam tanah yang boleh mengakibatkan tanah runtuh.
Ujian sebagai Kekuatan
Usah cepat menghakimi mereka yang terkena ujian bencana alam akibat hukuman daripada dosa mereka sendiri. Kita tidak mempunyai kuasa untuk mengetahui semua itu berlaku disebabkan dosa mereka atau sebagainya. Yang pasti kita sendiri perlu turut merefleksi kenapa ujian ini berlaku.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Dan Kami akan memberi ujian padamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kesempitan hidup serta hasil bumi yang berkurangan. Maka bergembiralah mereka yang sabar.” (Surah al-Baqarah, ayat 155)
Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya menjelaskan Allah SWT menguji hamba-Nya bagi mengetahui mereka yang dapat bertahan dan sabar.
Bencana alam seperti banjir akan menguji manusia dengan merosakkan harta, mendatangkan penyakit, merosakkan ternakan, dan sebagainya. Ini mendorong individu yang teruji tersebut untuk terus bersikap sabar dan kuat.
Allah ingin menggantikan sesuatu yang lebih baik
Kehidupan ini rahsia Allah SWT yang mana sering ada yang singgah dan ada yang pergi. Ketika berlakunya bencana alam, ada nyawa terkorban, ada harta yang dirosakkan, namun in sha Allah akan ada kemanisan di penghujung suatu ujian. Boleh jadi musibah ini adalah ladang pahala bagi membuat amal kebaikan. Boleh jadi juga, musibah ini adalah satu bentuk ujian bagi menaikkan darjat seorang hamba. Ia bergantung kepada tahap manusia memberi respons terhadap ujian yang diterimanya.
Sungguh berbeza manusia yang diuji dan manusia yang tidak diuji. Manusia yang diuji akan terhasi menjadi manusia yang berkualiti dan hebat. Bagi manusia yang tidak teruji dengan musibah banjr, ia sebenarnya turut merupakan satu ujian. Ujian yang bagaimana? Adakah kita sudi menafkahkan sebahagian harta ke jalan Allah SWT dengan membantu saudara kita yang memerlukan bantuan? Adakah kita mampu membantu mereka dari sudut tenaga, emosi dan psikologi? Semua itu kita perlu renungkan dan refleksi diri sendiri.
Kesimpulan
Ayuh sama-sama doakan kemudahan dan keringanan kepada saudara yang terlibat di dalam musibah. Semoga Allah SWT terus memberikan mereka kekuatan dan ketabahan dalam menghadapi dugaan ini.