Reruai ‘Karnival Jamin Kerja’ Antara Tumpuan Pengunjung Ke AKM Kelantan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Karnival Kerjaya Jamin Kerja yang diadakan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Kelantan menjadi antara tumpuan pengunjung, terutama pencari kerja ke AKM hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati 316 pengunjung termasuk pencari kerja daripada kalangan graduan universiti mengunjungi reruai itu setakat 12.30 tengah hari tadi.

Malah ada antara pengunjung yang ditemui begitu teruja untuk datang ke karnival berkenaan sehingga sanggup menunggang motosikal sejauh lebih 50 kilometer semata-mata untuk memastikan mereka tidak terlepas peluang memperoleh pekerjaan ditawarkan.

Mohd Nasrul Hashim, 25, bekas pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberitahu Bernama beliau cukup teruja ke karnival itu untuk mencari kerja baharu, selepas berhenti sebagai pelayan restoran di sebuah kedai makanan segera di Tanah Merah, dekat sini.

“Saya bersama rakan naik motor datang sini dari Kampung Bukit Gading di Tanah Merah ke jelajah AKM ini untuk mencari kerja dan saya berada di sini seawal 10 pagi lagi,” kata pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sosial (Sosiologi dan Antropologi) itu.

Fariza Adyani Mohd Na’im, 25, pula berkata karnival di Stadium Sultan Muhammad IV itu memudahkan beliau mencari pekerjaan tetap selepas menamatkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa di Management and Science University (MSU), Shah Alam tahun lepas.

“Sebelum ini saya kerja dalam industri perhotelan. Saya datang sini untuk cari kerja tetap dan saya lebih tertarik dengan program protege untuk mengasah pengalaman dan kemahiran.

“Menerusi karnival ini, saya sudah menghantar permohonan kerja kepada lebih lima syarikat, antaranya Maybank,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan hampir 4,000 peluang pekerjaan ditawarkan menerusi program Jelajah AKM Kelantan yang bermula hari ini hingga Ahad ini, melibatkan 28 majikan daripada pelbagai industri.

Sumber: BERNAMA