Resort Dan Hotel Di Terengganu Di Buka Kembali

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS, 10 Mac – Hampir 80 peratus Resort dan Hotel di Terengganu mula dibuka kepada pelancong tempatan susulan bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin  Deraman berkata sektor pelancongan antara yang teruk terkesan sepanjang PKP ini, jadi pembukaan semula aktiviti pelancongan ini diharap dapat memulihkan kembali industri pelancongan negeri.

“Alhamdulillah rentas daerah sudah dibenarkan, kebanyakan pengusaha menarik nafas lega dengan pengumuman ini dan mula membuka sektor pelancongan termasuk resort dan hotel di negeri ini.

“Selepas ini kita harap agar kerajaan akan membenarkan rentas negeri pula dalam tempoh terdekat  bagi memastikan industri pelancongan negara termasuk di pulau-pulau peranginan yang kini tenat kembali bernafas.

“Pihak kami akan memastikan semua peraturan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dipatuhi asalkan sektor pelancongan dapat dibuka semula seperti biasa,”ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan Lawatan Ke Produk Pelancongan Community Based Tourism Ke Lokasi-Lokasi Sekitar Kuala Nerus petang semalam.

Sementara itu, Ariffin berkata pulau-pulau peranginan di Terengganu juga  dibuka kembali kepada pelancong bermula pada awal bulan ini, selepas ditutup  berikutan musim tengkujuh dan pelaksanaan PKP 2.0 dengan sasaran 30 peratus kedatangan pelancong tempatan.

Tambahnya, namun masih ada sebahagian pengusaha resort di pulau peranginan masih belum membuka pintu kepada pengunjung di negeri ini kerana masih dihimpit kebimbangan perniagaan mereka akan terus merudum.

“Mereka menangguhkan dahulu hajat untuk menerima pelanggan hingga ke bulan depan bagi mengelak menanggung kerugian lebih besar berikutan kedatangan pengunjung yang suram,”katanya lagi.

Menurut rekod, Terengganu berada pada kedudukan keempat sebagai negeri popular pilihan pelancong untuk bercuti mengikut data kadar purata penginapan pelancong pada tahun lalu.

Data yang dikeluarkan Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bermula Januari hingga November 2020 itu menunjukkan Terengganu naik tujuh anak tangga berbanding kedudukan ke-11 pada tahun 2019.

Sumber: TRDI News