Manusia mempunyai pelbagai persepsi mengenai rezeki. Manusia sentiasa melihat rezeki berupa material sahaja. Sebenarnya terdapat banyak rezeki yang sedang kita nikmati sekarang seperti keluarga yang bahagia, rakan-rakan dan persekitaran yang baik dan banyak lagi.
Allah telah menyediakan pelbagai jalan menuju rezeki yang telah disebutkan dalam al-Quran. Kita sebagai manusia wajib berusaha untuk mendapatkan rezeki tersebut.
Rezeki Yang Telah Terjamin
Allah mengurniakan akal dan fikiran kepada manusia. Oleh itu, manusia seharusnya memanfaatkan nikmat tersebut dalam mencari rezeki. Allah SWT telah menjamin rezeki seseorang sejak mula dari kandungan ibunya lagi.
Firman Allah SWT dalam Surah Hud ayat 6 yang bermaksud: “Dan tiadalah sesuatu pun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jugalah yang menetapkan rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat ia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam kitab (Lauh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat berkenaan).”
Rezeki Asbab Usaha Individu
Sumber rezeki kedua adalah dari hasil usaha manusia itu sendiri. Allah SWT tidak akan menutup rezeki bagi hambanya yang telah bersungguh-sungguh berusaha dan berdoa demi mendapatkan rezeki dari-Nya. Allah akan memberikan balasan setimpal dengan usaha yang dilakukan oleh hambanya.
Firman Allah dalam Surah An-Najm ayat 39 maksudnya: “Dan sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa yang diusahakannya.”
Rezeki Asbab Bersyukur
Kita perlulah bersyukur dengan rezeki yang kita peroleh. Allah akan menambah nikmat itu jika kita bersyukur. Firman Allah dalam Surah Ibrahim ayat 7 maksudnya: “Demi sesungguhnya! Jika kamu bersyukur niscaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada Kamu, dan demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azab-Ku amatlah keras.”
Rezeki Tidak Terduga
Kita pasti pernah menerima rezeki yang tak terduga dari seseorang. Itulah yang dinamakan rezeki. Jika seseorang beriman dan bertakwa kepada Allah, maka rezeki yang tidak terduga akan mudah diperolehi.
Rezeki Asbab Istighfar
Istighfar bukan sahaja dapat menghapuskan dosa. Ianya juga mendatangkan rezeki yang tidak disangka-sangka. Firman Allah dalam Surah Nuh ayat 10-11 maksudnya: “Beristighfarlah kepada Tuhanmu, sesungguhnya Dia adalah Maha Pengampun, pasti Dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat dan memperbanyak harta.”
Rezeki Asbab Berkahwin
Berkahwin termasuk salah satu sumber rezeki seseorang. Allah telah berjanji dalam Surah An-Nur ayat 32 maksudnya:
“Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu dan orang-orang yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah karunia-Nya kerana Allah Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah karunia-NYa), lagi Maha Mengetahui.”
Selain itu, terdapat juga rezeki asbab kelahiran zuriat, kerap bersedekah, menjauhi godaan syaitan, banyak infaq ke jalan Allah dan asbab keimanan dan ketakwaan yang mantap.
Semoga dengan asbab kebaikan dan amal saleh yang kita lakukan setiap hari, Allah akan murahkan rezeki kita semua. Buatlah kebaikan dengan hati yang ikhlas kerana Allah.
Sumber: HARIAN METRO