Rezeki Nasi Lemak RM1

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG: Meskipun kos sara hidup dan harga barangan yang semakin meningkat, ia tidak menjadi penghalang bagi seorang peniaga, Safiah Azlan dari Kampung Rusila, di sini untuk terus berniaga nasi lemak berlauk ikan bilis, telur dan timun pada harga RM1 selepas dia melihat kuasa beli pengguna semakin menurun.

Walaupun margin keuntungan kecil, Safiah masih mampu menggajikan 10 orang pekerja untuk membantu menyediakan makanan untuk jualan.

Katanya, kini dia mengehadkan jualan sehingga 1,700 bungkus sahaja sehari melibatkan antara 80 hingga 10 kilogram beras. Had itu diletakkan kerana dia memasak secara berperingkat dari jam 3 petang hingga malam bagi menjamin nasi lemak sentiasa dalam keadaan panas, jadi kerja itu amat meletihkan.

Menurut Safiah, permintaan nasi lemaknya boleh mencecah sehingga 2,000 dan menerima pelanggan luar antaranya dari Kuala Lumpur, Johor, Pahang, Kelantan, Kedah dan Perak.

“Tak sangka permintaan semakin tinggi, walaupun margin keuntungan kecil, saya tetap puas hati kerana dalam tempoh tujuh jam atau kurang, mampu habiskan jualan”, katanya yang mula berniaga sejak 14 tahun lalu.

Walaupun nasi lemaknya dijual dengan harga RM1 namun bahan yang diletakkan dalam masakan sama seperti nasi lemak yang dijual pada harga RM3, atau RM4 sebungkus.

Selain menjual nasi lemak, dia juga menjual hidangan barat pada harga RM5, selain mi kari dan laksa juga dengan harga sama, tapi kuantiti bahan di dalamnya diperbanyakkan supaya pelanggan puas menikmatinya.

-BHarian