Rezeki Ramadan, 10,000 Ketupat Palas Dihasilkan Sehari

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TANAH MERAH – Ramadan memberi rezeki berganda buat 22 wanita dari Kampung Bukit Gading, di sini, yang mengambil upah menghasilkan ketupat palas sejuk beku sebanyak 10,000 biji sehari.

Ia berikutan sambutan terhadap enam jenis ketupat palas termasuk ketupat lemak, manis, serunding mendapat sambutan menggalakkan di seluruh negara, berbanding pada bulan lain.

Kumpulan wanita itu sebelum ini terdiri daripada golongan asnaf, namun kini mampu keluar daripada kepompong berkenaan selepas bekerja dengan Dapur Ramadan yang diusahakan oleh Zarina Mohd Nawawi, 51.

Zarina berkata, Dapur Ramadan mengusahakan banyak produk sepanjang tahun termasuk ketupat palas, kerutuk daging, bubur asyura.

“Namun paling terkenal adalah ketupat palas apabila kita mempunyai ejen di seluruh negara dan operasi ketupat dibuat selama enam bulan setiap tahun bermula Januari sehingga Jun memandangkan tempoh berkenaan sambutan adalah tinggi.

“Untuk ketupat palas jika bukan biasa, kita menghasilkan 5,000 biji sehari membabitkan 22 pekerja yang kesemua mereka sebelum ini terdiri daripada golongan asnaf. Namun bermula awal Ramadan permintaan meningkat sehingga kita menghasilkan 10,000 biji sehari.

“Untuk upah pekerja, setiap mereka diberi upah 17 sen sebiji dan mereka memperoleh antara RM100 hingga RM120 sehari dan nilai itu sangat lumayan untuk mereka,” katanya ketika ditemui di sini.

Zarina berkata, produk ketupat palas sejuk beku itu mula dihasilkan pada 2017 selepas mendapat idea daripada pekerja Dapur Ramadan untuk menambah pendapatan dan dijual harga borong RM15 sepaket yang mengandungi 20 biji.

“Alhamdulilah Dapur Ramadan yang ditubuhkan oleh saya sendiri banyak membantu golongan asnaf sehingga mereka mampu meraih pendapatan ribuan ringgit sebulan selaras dengan tujuan penubuhannya,” katanya.

Pekerja, Haliza Mohd Noor, 49, bersyukur dapat bekerja dengan Zarina menerusi Dapur Ramadan yang sememangnya banyak mengubah nasib dia sekeluarga.

Katanya, jika sebelum ini dia bekerja sebagai penoreh getah dengan pendapatan tidak menentu, namun kini mampu memperoleh pendapatan lumayan.

“Jika bulan biasa kami akan mendapat sekitar RM50 hingga RM60 sehari namun pada Ramadan ia bertambah RM100 hingga RM120 sehari memandangkan permintaan tinggi terhadap ketupat palas sejuk beku,” katanya.

Pekerja, Adawiah Abdul Hamid, 45, turut berpendapat Dapur Ramadan banyak membawa rezeki kepada mereka sekeluarga selain mampu membantu suami yang bekerja kampung.

“Sebelum ini hanya suami yang bekerja menampung saya dan enam anak, namun kini dengan pendapatan ini saya mampu membantu suami.

“Setiap hari terutama Ramadan, saya berjaya membungkus sekitar 700 biji ketupat dan sekiranya sihat saya akan bekerja setiap hari,” katanya.

– BERITA HARIAN