Ribut landa Flat Kampung Sireh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU – Selepas insiden kereta meletup baru-baru ini, penduduk Flat Kampung Sireh dikejutkan pula dengan badai ribut yang dahsyat pada petang Sabtu.

Ribut pada jam 4 petang itu, meranapkan sebuah gerai makan manakala beberapa atap rumah penduduk di tingkat empat flat berkenaan jatuh dari ketinggian kira-kira 100 meter.

Seorang peniaga, Nurihan Ariatula,42, berkata, ketika kejadian dia sedang mengupas bawang di gerai makan miliknya yang terletak hadapan flat berkenaan apabila cuaca yang cerah tiba-tiba bertukar gelap.

“Ribut kuat beserta hujan menerbangkan khemah utama gerai. Mujur saya sempat berpaut pada batang besi khemah kecil supaya ia tidak diterbangkan oleh ribut.

“Tetapi khemah besar dipukul ribut lalu koyak dan palang besinya patah. Sebuah lagi payung khemah dan kerusi diterbangkan ribut sejauh 50 meter dan jatuh di tengah jalan, ” katanya ketika ditemui Sinar Harian di Flat Kampung Sireh di sini pada Ahad.

Menurutnya, insiden letupan kereta dua minggu lalu menyebabkan nako di rumahnya pecah manakala bencana alam yang berlaku pada Sabtu itu meranapkan gerai makannya.

Nurihan (kiri) menunjukkan khemah gerai makannya di hadapan flat tersebut ranap dipukul ribut petang Sabtu.  - FOTO SINAR HARIAN

“Kedua-dua insiden menyebabkan usaha saya hendak mula berniaga tertangguh. Kali ini saya mengalami sakit badan akibat menahan khemah supaya tidak diterbangkan ribut,” katanya.

Seorang penduduk, Nurul Hidayu Mohd Ropi, 32, berkata, dia tinggal di tingkat empat tetapi ketika kejadian kebetulan berada di rumah ibunya di tingkat satu bersama tiga anaknya yang berusia tujuh, lima dan setahun.

“Dua anak bermain di luar dan ibu sempat memanggil mereka masuk kerana hujan dan ribut. Ketika hendak tutup pintu rumah sebab ditolak angin, tiba-tiba atap dari tingkat empat jatuh depan pintu, nasib baik anak-anak sudah masuk dalam rumah,” katanya.

Nurul Hidayu berkata, selepas kejadian dia pulang ke rumahnya di tingkat empat dan mendapati siling kediamannya bocor.

Seorang lagi penduduk, Nor Aziani Yusoff, 28, berkata, dia diberitahu oleh anak saudara lelaki yang berusia 16 tahun rumah sewa tempat tinggal mereka bersama nenek angkat berusia 98 tahun di flat berkenaan bocor.

“Saya pulang dengan menunggang motosikal dari tempat kerja di sebuah pasar raya dalam keadaan basah kuyup. Saya dapati ruang tamu rumah basah dan air masih menitik akibat siling yang bocor,” katanya.

SUMBER: Sinar Harian