Ribut Salji Badai California, 100,000 Premis Terputus Bekalan Elektrik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LOS ANGELES – Lebih 100,000 rumah dan perniagaan di seluruh California terpaksa bergelap selepas ribut musim sejuk melanda negeri itu yang menyebabkan bekalan elektrik mengalami gangguan.

Menurut PowerOutage.US, kira-kira 116,000 pengguna terputus bekalan elektrik setakat 10 pagi waktu tempatan pada Jumaat, lapor Xinhua.

Ribut yang mula melanda negeri itu pada Khamis turut mencetuskan hujan batu dan salji lebat luar biasa yang diramal berlarutan sehingga hujung minggu, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Amaran ribut salji dikeluarkan di pergunungan Kaunti Ventura dan Kaunti Los Angeles dari Jumaat hingga Sabtu.

Ia amaran kali pertama dikeluarkan untuk pergunungan California Selatan sejak 1989.

Selain itu, Pusat Avalanche Sierra turut mengeluarkan amaran runtuhan salji di pergunungan Sierra Nevada.

Menurut media sosial agensi tempatan, selain bekalan elektrik terputus, cuaca buruk turut menyebabkan beberapa jalan dan lebuh raya ditutup.

Sementara itu, lebih 720,000 pengguna di Michigan terputus bekalan elektrik pada pagi Jumaat dan pihak berkuasa meramalkan bekalan akan pulih semula pada Ahad.

Sumber : BERNAMA