BANDARAYA MEXICO: Ribut Tropika Lisa akan bertukar menjadi taufan yang berkemungkinan akan mencetuskan gelombang ribut yang ‘mengancam nyawa’ di Belize, Honduras dan bahagian Mexico, menurut ramalan Pusat Taufan Kebangsaan (NHC) Amerika Syarikat.
Ribut Lisa dijangka ‘meningkat dengan pantas’ menjadi taufan sebelum melepasi Kepulauan Teluk Honduras hari ini dan tiba ke pantai Belize pada lewat hari, menurut NHC yang berpangkalan di Miami.
Pinggir pantai Belize yang terkenal dengan terumbu karangnya dan Semenanjung Yucatan menghadap ke Caribbean Mexico, kedua-duanya adalah lokasi kepada destinasi pelancongan utama.
Pantai Belize boleh menyaksikan paras air meningkat sebanyak 1.22 meter (m) hingga 2.13m dengan gelombang ribut yang lebih kecil dari 61 sentimeter hingga 1.22m mungkin di sepanjang tenggara Yucatan, NHC meramalkan.
Kelajuan maksimum angin ribut Lisa yang berterusan mencecah 105 kilometer sejam (kmj) semalam, manakala ia bergerak ke arah barat pada kelajuan 24kmj, menurut NHC.
Ribut tropika bertukar kepada taufan kategori satu apabila angin berterusan mencecah 119kmj.
Amaran taufan berkuat kuasa untuk semua pantai Belize dan pantai Atlantik utara Guatemala, di mana NHC memberi amaran kepada penduduk supaya menyegerakan persiapan untuk ‘melindungi nyawa dan harta benda’.
Ribut Lisa dijangka meningkat pada hari ini apabila ia menghampiri Belize, sebelum berkemungkinan lemah apabila melalui Guatemala pada esok dan kemudian menyeberang ke selatan Mexico.
Amaran ribut tropika berkuat kuasa untuk sebahagian Semenanjung Yucatan Mexico, termasuk bandar sempadan Mexico Chetumal di utara Belize, bersama-sama dengan pantai utara Honduras dan Guatemala.
Taburan hujan berjumlah 10cm hingga 15cm diramalkan untuk Belize, Kepulauan Bay, utara Guatemala dan bahagian tenggara negeri Chiapas di Mexico. – REUTERS
Sumber: BERITA HARIAN