Kuala Terengganu: Selepas setahun terpaksa ‘menggantung’ kostum adiwira dan badut, tiga sekawan menyarung kembali pakaian itu dan menghiburkan orang ramai di Pantai Batu Buruk, di sini, semalam.
Muhammad Ridzuan Roslan, 25, bersama dua rakannya, Mohd Nasbullah Mat Napi, 27, serta Rahiman Ali, 28, yang sebelum ini menjadikan kerjaya menghiburkan pengunjung sebagai sumber pendapatan terpaksa akur memberhentikan perkhidmatan itu selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa Mac tahun lalu.
“Sudah lama kami menahan diri untuk menggayakan kostum dan menceriakan orang ramai.
“Jadi, apabila Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa di Terengganu sekarang, kami sepakat untuk tampil semula di khalayak.
“Seronok dapat menghiburkan orang ramai semula. Pengunjung di Pantai Batu Buruk juga ceria dengan kehadiran kami,” katanya.
Masing-masing mengenakan kostum Spiderman, Money heist dan badut.
Muhammad Ridzuan berkata, sebelum ini mereka mampu memperoleh pendapatan antara RM2,000 hingga RM3,000 sebulan, namun sejak penguatkuasaan PKP mereka terpaksa melakukan pelbagai kerja lain.
“Saya sendiri terpaksa mengambil upah sebagai penghantar makanan dan barangan untuk menampung keperluan keluarga.
“Saya sudah belanjakan lebih RM50,000 untuk membeli segala kelengkapan dan peralatan untuk menawarkan perkhidmatan itu dan rugi sekiranya ia tidak dimanfaatkan sebaik mungkin,” katanya.
Sementara, Mohd Nasbullah berkata, dia berharap perkhidmatan yang ditawarkan itu mendapat sambutan semula.
Menurutnya, dia mengusahakan kebun cili di Kampung Ajil sejak PKP berkuat kuasa.
“Memang saya mampu memperoleh pendapatan lumayan ketika mengusahakan kebun cili tetapi menjadi badut lebih memberi kepuasan,” katanya.
Sumber: My Metro