Kuantan: Rindu masakan ibu antara alasan yang diberikan ketika memohon surat kebenaran merentas daerah dan negeri di Pahang.
Bagaimanapun, Ketua Polis Pahang Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pihaknya tidak meluluskan permohonan itu kerana alasan yang diberikan tidak munasabah.
Menurutnya, permohonan seperti itu tidak sepatutnya dilakukan ketika kerajaan berusaha untuk menyekat penularan wabak Covid-19.
“Berdasarkan statistik permohonan surat kebenaran semalam, sebanyak 85 daripada 2,348 permohonan terpaksa ditolak kerana alasan yang diberikan tidak munasabah.
“Berikutan itu, kita hanya meluluskan 2,263 permohonan merentas daerah dan negeri selepas meneliti permohonan yang dikemukakan,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini.
Bagi individu yang ingkar arahan PKP di Pahang semalam, beliau berkata, seramai 19 individu dan lima pemilik premis dikompaun RM1,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Sehubungan itu, katanya, orang ramai diminta untuk mematuhi SOP seperti yang pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal satu meter dan penyediaan cecair pensanitasi tangan.
“Bagi menyekat penularan wabak Covid-19, polis mempertingkatkan sekatan jalan raya (SJR) bukan sahaja di sempadan negeri, malah lorong tikus dengan melakukan pemantauan sepanjang 24 jam.
“Antara lorong tikus yang dikenal pasti ialah di kawasan ladang kelapa sawit di sempadan negeri.
“Dengan mempertingkatkan sekatan itu, kita percaya kes penularan wabak ini dapat disekat,” katanya.\
Sumber: My Metro