Rantau Panjang: Belum habis dengan ujian dilanda banjir luar biasa pada awal pertengahan Disember lalu, penduduk Kampung Tersang, di sini, mula dibelenggu rasa bimbang dengan penyakit bawaan air serta bau kurang menyenangkan akibat air bertakung.
Tinjauan ke penempatan itu, hari ini, mendapati hampir semua pekarangan rumah masih digenangi air separas 0.2 sehingga 0.4 meter dengan warna bertukar kehitaman serta bau busuk.
Penduduk, Mustafa Hassan, 75, berkata, dia mengalami masalah kulit gatal sejak kebelakangan ini susulan hampir setiap hari perlu berjalan mengharungi banjir untuk keluar dari kawasan rumah.
“Kaki serta tangan saya menjadi kemerah-merahan selepas mengharungi air. Selain itu, saya dan keluarga mula tidak selesa dengan bau air busuk mungkin kerana bertakung terlalu lama.
“Malah, nyamuk semakin banyak menyebabkan kami terdedah kepada demam denggi yang boleh membawa maut. Orang kampung terpaksa akur dengan situasi semasa, tetapi dalam masa sama bimbang dengan keselamatan diri.
“Sekarang ini, harapan kami semoga air bertakung segera kering agar tiada sebarang masalah lain timbul dan kami dapat kembali menjalankan aktiviti seharian seperti biasa,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Sementara itu, Syed Zainal Abidin Syed Mamat, 62, berkata kehadiran binatang berbisa seperti lipan, kala jengking dan ular menjadi kebimbangan buatnya kerana air bertakung itu.
“Tambahan pula, saya mempunyai cucu berusia setahun yang perlu dijaga sebaik mungkin agar tidak terdedah dengan haiwan berbisa selain penyakit bawaan air yang boleh memudaratkan.
“Tidak cukup dengan itu, air mula bertukar kehitaman dipenuhi dengan cacing serta lintah yang mengganggu keselesaan kami sekeluarga.
“Kami buntu memikirkan cara supaya air bertakung cepat kering kerana pelbagai penyakit boleh timbul jika keadaan terus begini,” katanya.
Penduduk di sekitar Kampung Tersang mengakui masih berjaga-jaga jika banjir kembali melanda kerana Monsun Timur Laut belum berakhir.
Sumber: My Metro