PUTRAJAYA – Risiko virus cacar monyet tersebar ke Malaysia adalah rendah, kecuali jika seseorang individu itu ada sejarah bersentuhan dengan haiwan dijangkiti atau kontak langsung dengan pesakitnya.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkemungkinan transmisi jangkitan virus itu dari manusia ke manusia adalah terhad.
“Cacar monyet adalah disebabkan oleh jangkitan orthopoxviruses. Virus ini ditularkan kepada manusia melalui gigitan atau sentuhan langsung dengan darah binatang atau cecair badan dan luka haiwan yang dijangkiti. Virus ini juga boleh disebarkan melalui titisan sekresi pernafasan.”
“Virus cacar monyet juga boleh menular melalui kontak langsung dengan cecair daripada ruam makulopapular di badan orang yang dijangkiti atau dengan objek yang tercemar virus, seperti tempat tidur atau pakaian.”
“Tempoh inkubasi biasanya ialah antara enam hingga 21 hari, dan akan mengalami gejala selama dua hingga empat minggu,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, gejala jangkitannya mirip cacar (smallpox) membabitkan demam, keletihan, sakit kepala serta ruam makulopapular yang bermula di muka sebelum merebak ke tapak tangan dan tapak kaki, diikuti bahagian tubuh yang lain.
“Pesakit juga mungkin mengalami lenguh tubuh badan, sakit bahagian belakang badan atau sendi, kejang otot dan bengkak kelenjar limfa.”
“Kanak-kanak dan individu yang memiliki tahap imuniti rendah (immune deficiency), mempunyai risiko dengan gejala lebih serius dan boleh menyebabkan kematian. Kadar kematian di negara endemik cacar monyet dianggarkan sebanyak tiga hingga enam peratus,” katanya.
Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau perkembangan penularan cacar monyet, melalui laporan dikeluarkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan melakukan pemantauan kes disyaki virus berkenaan di semua Pintu Masuk Antarabangsa (PMA).
Beliau berkata, pengembara ke kawasan yang terdapat penularan virus itu seperti Afrika Tengah dan Afrika Barat serta negara sedang dilanda wabak berkenaan pula dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kekalkan kebersihan diri yang tinggi, termasuk mencuci tangan dengan kerap selepas pergi ke tandas atau apabila tangan kotor dan elak sentuhan langsung dengan luka pada mereka yang dijangkiti, sama ada manusia mahupun haiwan, serta objek yang mungkin tercemar dengan cecair tubuh kes, seperti pakaian kotor yang digunakan orang dijangkiti dan elak bersentuhan dengan haiwan liar atau memakan dagingnya.”
“KKM sentiasa bekerjasama rapat dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta PERHILITAN untuk memantau cacar monyet dalam kalangan haiwan liar, termasuk yang diimport dari Afrika dan Eropah.”
“Kita menyeru orang ramai segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala jangkitan cacar monyet supaya tindakan pengasingan dapat segera dilakukan serta pengesanan dan kuarantin kontak dapat dilaksanakan bagi mengelak penularannya.”
“Semoga tindakan awal semua pihak dapat mengelakkan kemasukan virus cacar monyet ke dalam negara ini,” ujarnya.
Sumber: BERITA HARIAN