RM 143,000 Diserahkan Kepada Atlet Terengganu Bagi Insentif Keseluruhan SHAKE, SWARA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri Terengganu hari ini menyerahkan insentif kepada 25 atlet Terengganu di bawah Insentif Skim Hadiah Kemenangan (Shake) berjumlah RM86,000 atas kejayaan meraih pingat dalam Sukan SEA ke-31 di Vietnam, bulan lalu.

Manakala, 30 lagi atlet, jurulatih dan pegawai anak negeri dalam pelbagai acara sukan turut diberikan Insentif Skim Wakili Negara (Swara) berjumlah RM57,000.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, KPI pencapaian atlet Terengganu pada temasya kali ini melebihi daripada sasaran ditetapkan.

“Acara seperti berbasikal lebuh raya khususnya menjadi antara penyumbang terbesar pingat kontinjen Malaysia selain muay thai yang tidak dijangka mampu meraih emas.

“Secara keseluruhan sebanyak RM143,000 diperuntukkan kepada 57 atlet, jurulatih dan pegawai yang menyertai Sukan SEA di Vietnam,” katanya selepas Majlis Penyerahan Insentif Shake Sukan Sea yang disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Insentif di bawah Skim Hadiah Kemenangan (SHAKE) itu melibatkan wang tunai RM4,000 bagi pemenang pingat emas, perak (RM3,000) dan gangsa (RM2,000) dalam kategori individu.

Bagi acara berpasukan pula, wang tunai RM2,500 bagi penyumbang pingat emas, RM2,000 bagi perak manakala RM1,500 bagi gangsa.

Atlet berbasikal lebuh raya, Nur Aisyah Mohamad Zubir, muncul penerima insentif tertinggi sebanyak RM8,000 selepas meraih dua pingat perak menerusi acara individu dan berpasukan di samping satu gangsa dalam acara kriterium individu.

Dalam majlis itu, kerajaan negeri turut mengumumkan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN), Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak sebagai CDM bagi mengetuai kontinjen Terengganu ke Sukan Malaysia (Sukma) Ke-20 di Kuala Lumpur yang bermula September ini.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM