RM1.16 bilion Diperuntukkan Bagi Tangani Isu Muara Sungai Cetek di Terengganu – Tuan Ibrahim

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SETIU – Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM1.16 bilion bagi menangani isu muara sungai cetek di seluruh negeri Terengganu bagi tempoh 2002 sehingga 2021.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Terengganu merupakan negeri penerima peruntukan paling tinggi ekoran garisan pantainya yang panjang serta 14 muara sungai yang besar berbanding negeri lain yang hanya tiga atau empat muara sungai.

Menurut beliau lagi, kepesatan ekonomi di kawasan muara sungai menimbulkan cabaran seperti pemendapan, kesukaran pelayaran dan banjir.

“Kita juga mendengar keluhan para nelayan yang mengalami kesukaran mengemudi bot untuk mencari rezeki kerana muara sungai cetek akibat mendapan pasir sehingga terpaksa menanggung kerugian harta benda malah kehilangan nyawa akibat kemalangan”. katanya pada Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu di sini, hari ini.

Justeru, beliau berkata kementeriannya melalui agensi pelaksana iaitu Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) komited bagi mengatasi masalah mendapan serius di muara-muara sungai terbabit.

Katanya di bawah Rancangan Malaysia Ke-11, sebanyak RM343 juta telah diluluskan untuk negeri ini melaksanakan tiga projek baharu di bawah Program Pemuliharaan Muara Sungai.

“Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu adalah salah satu daripada projek baharu tersebut dengan jumlah siling peruntukan sebanyak RM150 juta,” katanya dan menambah kerja-kerja pembinaan telah bermula Januari lepas dan projek itu dijangka siap dalam tempoh tiga tahun iaitu pada Januari 2025.

Beliau berkata projek tersebut merangkumi pembinaan struktur pemecah ombak, struktur tembok arah alir, lapis lindung, penyuburan pantai dan penggalian alur navigasi sejauh 14 kilometer, bermula dari Kampung Gong Batu sehingga Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Kampung Penarik dekat sini.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM