‘RM10 pun sudah cukup besar bagi kami’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: “Sekarang kalau dapat RM10 pun sudah cukup besar bagi kami,” kata Wahab Abd Rahman.

Wahab, 76, dari Kampung Sungai Derhaka antara lapan penarik beca yang masih aktif menjalankan perkhidmatan walaupun kebanyakan kawasan di daerah ini sudah berkuatkuasa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan kenaikan jumlah kes Covid-19.

Katanya, dia terpaksa menggagahkan diri meneruskan perkhidmatan itu ketika PKPD berkuat kuasa.

“Kalau saya berada di rumah, siapa yang akan menyara keluarga. Walaupun tiada penumpang, setidaknya saya berusaha.

“Alhamdulillah, ramai bersimpati dan memberi sumbangan kepada saya serta rakan lain.

“Boleh dikatakan kami semata-mata mengharapkan sumbangan orang ramai yang melalui dan berkunjung di Pasar Kedai Payang (PKP) 2 itu,” katanya ketika ditemui di pekarangan PKP2 di sini, semalam.

Menurutnya, sepanjang menjalankan perkhidmatan itu sejak 40 tahun lalu, kali pertama dia menghadapi kemerosotan pendapatan daripada perkhidmatan dijalankan itu.

Menurutnya, dia akan terus menawarkan perkhidmatan itu sehingga ke akhir hayat.

“Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak termasuk pihak polis dan tentera yang mamahami keadaan saya.

“Biasanya pihak berkuasa yang bertugas di sekatan jalan raya seakan faham situasi dan tidak mengambil tindakan terhadap kami.

Sementara itu, Asmad Mohamad, 73, dari Kampung Bukit Kecil berkata, sebahagian besar penarik beca terdiri daripada warga emas.

“Oleh demikian, wajar sekiranya penarik beca mendapat bantuan bulanan disediakan sebelum ini untuk mereka.

“Sebelum ini kerajaan negeri menyumbangkan RM200 seorang dan ia sangat membantu, tetapi sekarang tidak lagi,” katanya.

Menurutnya, dia berharap semua pihak mempertimbangkan semula permohonan penarik beca supaya menyalurkan sumbangan bulanan kepada penarik beca yang memerlukan.

Sumber: My Metro