RM10,000 bagi DUN rekod pendaftaran vaksin tertinggi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Berang: Ganjaran RM10,000 ditawarkan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen itu yang merekodkan jumlah pendaftaran vaksin Covid-19 paling tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata, habuan itu akan diberikan kepada mana-mana daripada empat DUN iaitu Kuala Berang, Ajil, Manir dan Telemong sebagai penghargaan terhadap usaha memastikan penduduk di kawasan masing-masing segera mendaftar untuk vaksinasi Covid-19.

Menurutnya, ia juga sebagai galakan kepada penduduk di empat DUN berkenaan untuk segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 sekaligus mencapai imuniti kelompok dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Mana-mana DUN yang berjaya mencapai peratusan tertinggi dalam tempoh tiga bulan bermula sekarang, mereka akan menerima ganjaran RM10,000 ini.

“Kita sedar ramai yang terpedaya dengan dakyah anti vaksin di luar sana dan usaha perlu dilakukan untuk memberi kesedaran kepada penduduk mengenai kepentingan mengambil suntikan vaksin ini serta bagaimana ia dapat membantu kita pulih daripada ancaman Covid-19.

“Sekarang ini, kadar pendaftaran penduduk untuk mendapatkan suntikan vaksin ini di Terengganu masih rendah dan ini antara usaha kita supaya lebih ramai tampil untuk suntikan vaksin ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan Bantuan Khas Covid-19 menerusi inisiatif Gerobok Prihatin di Masjid Ajil di sini, hari ini.

Pejabat Parlimen Hulu Terengganu memperuntukkan sejumlah RM93,000 nilai bantuan barangan makanan asas yang diagihkan kepada 93 masjid di seluruh daerah itu untuk membantu golongan yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Sumber: My Metro