Rokok Seludup Lebih RM1.8 Juta Dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KOTA BHARU –  Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan membongkar kegiatan penyeludupan melibatkan 2.46 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.8 juta termasuk cukai dalam serbuan di Kampung Pulai, Gua Musang pada Ahad.

Pengarah JKDM Kelantan, Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata, operasi dilakukan sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Kota Bharu pada jam 2.20 petang.

“Pemeriksaan di dalam rumah menjumpai 246 kotak mengandungi 12,300 karton rokok bersamaan 2.46 juta batang rokok seludup bernilai lebih RM1.8 juta,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM di sini pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi penyeludup dipercayai membawa masuk bekalan melalui jalan laut di pelabuhan tempatan di pantai barat sebelum perayaan Tahun Baharu Cina.

“Kami percaya mereka membawa bekalan ini ke Kelantan menggunakan treler untuk pasaran dalam dan luar negeri ini.

“Mereka juga dipercayai mengejar keuntungan kerana harga rokok seludup itu dijangka lebih tinggi selepas perayaan itu bagaimanapun siasatan masih diteruskan,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang sabit kesalahan boleh didenda minimum 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih tinggi hingga maksimum 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih tinggi atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Pihak kami masih mengesan kumpulan individu yang melakukan kegiatan penyeludupan ini untuk membantu siasatan.

“Orang awam diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan melalui talian bebas tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam dan dijamin identiti akan dirahsiakan,” katanya.

Sumber : SINAR HARIAN