Ronaldo Mohon Maaf Gagal Kawal Emosi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

LONDON – Cristiano Ronaldo memohon maaf kerana menepis telefon salah seorang penyokong ketika dia meninggalkan padang selepas kekalahan 1-0 Manchester United di tangan Everton.

Rakaman di media sosial menunjukkan bintang Portugal itu bertembung dengan salah seorang penyokong Everton ketika dia sedang memasuki terowong di Goodison Park.

“Ia bukan mudah untuk menangani emosi dalam saat sukar seperti yang kami hadapi sekarang. Bagaimanapun kami perlu sentiasa menghormati, sabar dan memberikan contoh terbaik kepada generasi muda yang mencintai sukan ini.

“Saya ingin memohon maaf di atas sikap saya, jika boleh, saya ingin menjemput penyokong ini untuk menonton perlawanan di Old Trafford sebagai tanda semangat kesukanan dan fair-play,” kata Ronaldo.

Kelab mengesahkan akan menyiasat insiden berkenaan selepas rakaman terbabit tular di media sosial.

Kekalahan itu meletakkan United di tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris, enam mata di belakang tempat terakhir untuk kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan.

Sumber: BERITA HARIAN