MANCHESTER – Bintang Manchester United Cristiano Ronaldo menyangkal dakwaan yang dia akan kembali ke kelab lamanya Sporting Lisbon.
Penyerang Portugal itu mencetus spekulasi berkenaan masa depannya apabila dia menghantar permohonan perpindahan keluar dari Old Trafford awal bulan ini.
Peminat kelab zaman remajanya, Sporting – di mana United kali pertama menandatanganinya pada tahun 2003 – teruja apabila kereta Ronaldo dilaporkan berada di perkarangan rumah pemain mereka.
Sport TV Portugal memuat naik gambar kereta berkenaan dengan keterangan gambar: “Tular gambar di media sosial mengatakan kereta bintang Portugal itu berada di garaj Jose Alvalade.”
Ronaldo dilaporkan berada di sana untuk membincangkan kepulangan secara pinjaman untuk musim akan datang.
Bagaimanapun pemenang lima kali Ballon d’Or itu pantas menafikan khabar angin berkenaan dan mendakwanya sebagai palsu.
“Palsu,” tulis Ronaldo di bawah gambar berkenaan.
Setakat ini beberapa kelab sudah menolak untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 37 tahun itu. Antaranya, Chelsea, Paris Saint-Germain dan Bayern Munich.
Sporting juga turut meredakan spekulasi kepulangan bekas pemainnya itu apabila pengarahnya, Hugo Viana berkata: “Saya rasa bukan sekarang – saya tidak rasa ia akan berlaku, tetapi tidak mustahil.
“Dia masih ada baki setahun dalam kontraknya, jadi kita tunggu saja keputusannya.”
Sumber: BERITA HARIAN