Ruang Tamu Jadi Mini Studio, Beri Pendapatan Lumayan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS: Idea seorang pemuda mengubah ruang tamu rumahnya menjadi mini studio untuk rakaman gambar raya yang pada awalnya sekadar ‘suka-suka’, bagaimanapun ia menjadi rezeki yang memberi pendapatan lumayan buatnya sepanjang Ramadan ini.

Muhammad Najmuddin Abdul Majid, 30, berkata, dia dan isteri, Nur Hidayatul Adni, 30, hampir setiap tahun merakam gambar raya bersama keluarga di rumah memandangkan dia mempunyai kemahiran dalam bidang fotografi.

Menurutnya, Ramadan kali ini dia memberanikan diri membuat kelainan dengan menyediakan khidmat rakaman gambar raya di studio mini berkonsepkan tema ‘Raya Klasik’ dan tidak menyangka ia mendapat permintaan orang ramai.

“Sekarang saya tidak lagi menerima tempahan kerana mahu memfokuskan kepada lebih 100 slot pelanggan dari seluruh Kelantan yang mahu merakam momen indah untuk hari raya.

“Saya sendiri tidak menyangka, promosi yang dilakukan di media sosial seperti Facebook dan Instagram menjadi.

“Saya menawarkan caj serendah RM85 untuk satu slot rakaman yang mengambil masa selama 25 minit dan caj boleh menjadi lebih mahal jika pelanggan mahu bergambar dalam masa yang lebih lama atau membabitkan ramai ahli keluarga.

“Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya merakam gambar raya untuk pelanggan dan ternyata ia memberi suatu rasa yang berlainan apabila dapat melihat kegembiraan yang ada dalam sebuah keluarga,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Repek di sini.

Dia yang juga pemegang Ijazah Sarjana Muda Persuratan Melayu (Sastera) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengakui pendapatan yang diperoleh daripada mini studio itu di luar jangkaan dan akan digunakan sebaiknya untuk keluarga.

“Alhamdulillah, dengan bermodalkan RM400 sahaja untuk membeli beberapa perhiasan studio, kini saya memperoleh rezeki berlipat kali ganda. Saya hanya membuat penambahan dengan membeli bakul, kerusi rotan, pelita, pasu dan bunga manakala yang selebihnya guna pakai yang sedia ada di rumah.

“Tambahan pula, di Kelantan tidak ramai yang menyediakan studio untuk merakam foto raya, justeru saya guna peluang ini untuk mencari wang sampingan sepanjang Ramadan.

“Setakat ini, pelanggan berpuas hati dengan khidmat yang saya tawarkan selain teruja menerima gambar yang siap diedit untuk mereka simpan sebagai kenangan sempena rari raya tahun ini,” katanya.

Muhammad Najmuddin berkata, dia turut memainkan lagu raya sepanjang proses rakaman selain sentiasa membantu pelanggan cara bergaya di hadapan kamera agar mereka tidak berasa janggal sekali gus menghasilkan gambar yang terbaik.

Sumber: METRO