Rugi RM10,000, Burung dan Ayam Mati Akibat Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – Seorang peniaga burung dan ayam kerugian RM10,000 apabila ternakannya mati kerana tidak sempat diselamatkan selepas kediaman dinaiki air separas tiga hingga empat meter secara mendadak, baru-baru ini.

Mohd Hirwan Rajiuon, 39, reda dengan ujian berkenaan apabila 50 burung serta 50 ayam miliknya, menjadi korban banjir dan terpaksa ditanam bagi mengelak bau busuk, tambahan jumlahnya yang banyak.

Katanya, jumlah kerugian itu termasuk dengan kos baja dan peralatan ternakan yang terdapat di kedainya, akibat ditenggelami air dan tidak dapat diselamatkan.

“Kawasan rumah saya memang setiap tahun dinaiki air namun banjir kali ini tidak dijangka menjadi sebesar ini, sehinggakan saya tidak sempat menyelamatkan burung serta ayam yang ada di kedai.

“Kedai saya hanya di hadapan rumah sahaja, tetapi berdekatan dengan jalan utama yang tinggi, namun banjir kali ini menyebabkan air menggenangi jalan sehingga paras 0.5 meter sekali gus turut memasuki bahagian kedai.

“Saya reda dengan kerugian ini walaupun masih terkejut dan menganggap sudah tiada rezeki saya,” katanya yang juga bapa kepada empat cahaya mata berusia tiga hingga 11 tahun.

Antara spesies burung yang dijualnya seperti Candik, Merbok, Serindit, Aji-aji dan Merpati, manakala ayam pula jenis organik dan Serama.

Mohd Hirwan berkata, kediamannya mula dinaiki air pada 17 Disember lalu dan mengambil masa lebih seminggu untuk surut menyebabkan dia sekeluarga terpaksa menumpang di rumah saudara di Pasir Mas.

“Air naik dengan mendadak menyebabkan saya tidak sempat menyelamatkan ternakan yang ada di kedai, hanya memastikan isteri dan anak serta ibu yang sudah uzur dipindahkan ke tempat selamat.

“Malah, kereta saya juga hampir ditenggelami banjir tetapi sempat menggunakan khidmat penarik kereta untuk dibawa ke tempat yang bebas banjir.

“Sejujurnya, sepanjang lebih seminggu banjir melanda, hati saya tidak senang memikirkan burung dan ayam yang kesejukan di kedai selain dapat mengagak bahawa akan ada yang mati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tersang, di sini, semalam.

Sumber: BERITA HARIAN