Rumah Baharu Tak Sempat Siap Sebelum Aidilfitri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

BESUT: “Setiap kali orang tanya mengenai persiapan raya terus timbul rasa sebak apabila teringat kami tiada rumah,” luahan sayu mangsa banjir, Raja Kamaruddin Raja Muhamad, 59.

Dalam banjir besar pada Disember tahun lalu, rumahnya di Kampung La, Hulu Besut, di sini yang didiami sejak lebih 20 tahun lalu antara enam kediaman dihanyutkan arus deras.

Raja Kamaruddin lebih mesra dengan panggilan Pak Su Leh berkata, jika diikutkan pada bulan Januari lalu kerja-kerja pembinaan rumah baharu bersaiz sederhana itu bagi menggantikan rumah hanyut mula dilakukan dengan mengupah adiknya serta seorang tukang rumah untuk membinanya.

“Namun proses pembinaan terpaksa mengambil masa lama untuk disiapkan kerana kekurangan modal serta peruntukan walaupun upah tukang sangat murah hanya RM60 berbanding biasa sekitar RM100 satu hari.

“Setakat ini baru siap dalam 30 peratus menggunakan hasil sumbangan wang orang ramai ketika banjir dahulu serta bantuan daripada orang perseorangan.

“Saya memilih untuk membina rumah tinggi kerana sedar risiko kawasan ini akan dilanda semula banjir disebabkan tiada pilihan kerana tidak ada tapak rumah lain untuk berpindah,” katanya ketika ditemui di tapak rumahnya di Kampung La, Hulu Besut, semalam.

Katanya, dia memerlukan sekurang-kurangnya sejumlah RM40,000 untuk menyiapkan rumah itu secara asas termasuk bahagian dinding, bumbung serta bilik air sebelum boleh diduduki oleh mereka tujuh beranak.

“Jika diikutkan saya ada lapan anak namun tiga sudah berkeluarga manakala lima lagi masih bujang tinggal bersama kami,” katanya.

Dia berkata, mereka turut mendapat bantuan rumah sewa sebagai tempat tinggal untuk sementara dalam tempoh enam bulan tetapi rumah itu diberi kepada anaknya yang sudah berkeluarga kerana rumah sewa mereka juga turut musnah dalam banjir besar.

“Selalunya kami akan bergilir-gilir tumpang bermalam di rumah ahli keluarga lain yang tinggal di kawasan berhampiran.

“Saya juga ingin betulkan tanggapan orang ramai yang mendakwa menerima banyak bantuan wang ringgit tetapi sebenarnya menerima banyak bantuan berbentuk sumbangan pakaian terpakai serta barang keperluan makanan daripada penyumbang,” katanya.

Katanya, dia juga mengalami masalah kesihatan mengidap penyakit saraf serta tidak mampu melakukan kerja-kerja berat sekadar membawa beruk mengambil upah memetik petai mengikut musim.

“Kami sekeluarga bercadang untuk berkumpul di tapak rumah ini pada malam raya nanti membuat persiapan menyambut raya serta membakar lemang.

“Walaupun rumah ini masih belum siap sepenuhnya, sekurang-kurangnya dapat mengubati sedikit kerinduan serta mengimbas kenangan kami sekeluarga berhari raya di sini sejak dari dulu,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN