KUALA TERENGGANU: Nasib penduduk Kampung La di Besut yang hilang dan kerosakan rumah akibat banjir luar jangka, 18 Disember lalu akhirnya terbela.
Ia selepas kerajaan negeri membuat keputusan untuk membina dan membaik pulih kediaman mereka.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Terengganu Hanafiah Mat berkata, perkara itu sudah diperincikan di peringkat negeri dan agensi yang berkaitan akan membantu mangsa.
Katanya, pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) akan berbincang dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan agensi lain sesuai bagi tujuan bantuan berkenaan.
“Perkara ini dalam pemerhatian kerajaan negeri dan kita berusaha untuk membantu mereka yang terjejas,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, pihaknya juga mencadangkan mangsa yang terjejas untuk mencari rumah sewa buat sementara waktu.
Katanya, sewa itu akan ditanggung Maidam sehingga rumah mereka siap dibina.
Sumber: METRO