KUANTAN – Pesara kerajaan Abu Saffian Husin, 54, berdepan detik cemas apabila rumah yang dihuninya bergoyang selepas dilanggar oleh tangki diesel yang hanyut dibawa arus deras banjir pada malam 19 Disember lalu. Dia hanya mampu berserah sambil berdoa agar rumahnya tidak runtuh akibat pelanggaran tersebut.
Abu Saffian yang menetap di Kampung Air Hitam, di sini, berkata tangki minyak berkenaan seolah-olah melekat pada dinding rumah ketika paras air setinggi lebih 3.5 meter.
Menurutnya, tangki milik rakannya itu diletakkan di kawasan simpanan barangan binaan dan terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya.
Katanya, dia tidak menyangka tangki minyak sebesar itu boleh bergerak jauh dibawa arus banjir hingga tersadai di rumahnya.
“Kejadian banjir akhir bulan lalu dianggap luar biasa apabila arus air begitu deras dan paras air dalam.
“Saya difahamkan masih terdapat minyak di dalam tangki tersebut, dan ia kini berada di tepi rumah saya.
“Pada masa sama, saya juga bimbang jika tangki minyak terbabit tergolek dan boleh mengancam nyawa kami sekeluarga,” katanya yang mengusahakan bengkel kimpalan.
Abu Saffian berkata, sekiranya tangki minyak tersebut tidak tersangkut di rumahnya, kemungkinan tangki berkenaan akan hanyut masuk ke Sungai Belat yang terletak berhampiran.
Menurutnya, banjir gelombang kedua bermula kelmarin namun ia tidak memberi kesan pada tangki berkenaan kerana paras air tidak terlalu tinggi dan arus juga tidak terlalu deras.
“Cuma saya berharap pemilik tangki minyak berkenaan dapat segera mengalihkan tangki berkenaan demi keselamatan kami sekeluarga.
“Untuk mengangkat dan memindahkan tangki berkenaan memerlukan bantuan jentera dan lori besar,” katanya sambil berharap kejadian terbabit tidak berulang lagi.
Sumber: HARIAN METRO